Pilih calon yang ikhlas jiwanya

in Politik by


KUALA LUMPUR – Semua calon pemilihan Umno kali ini perlu bertanya diri sendiri apakah keputusan bertanding kerana mahu menyelamatkan parti atau sebaliknya mahu parti menyelamatkan mereka.


Calon Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat berkata, ia satu penilaian mana calon yang ikhlas jiwanya untuk memartabatkan maruah lantas mengembalikan Umno semula sebagai parti yang terkuat di negara ini.


“Saya menyokong penuh keputusan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menawarkan diri untuk bertanding Presiden Umno.


“Pengumuman penting ini bukannya bererti Umno terpecah kepada Team A dan Team B sebaliknya ia merupakan proses pemulihan dengan menyuburkan demokrasi dalam parti.


“Yang terbaik adalah apa yang disarankan oleh Tengku Razaleigh iaitu beliau dan kawan-kawannya bertanding tanpa berpasukan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.


[ARTIKEL BERKAITAN: Ku Li sah bertanding Presiden Umno]


Semalam, Tengku Razaleigh sah menawarkan diri sebagai calon bagi jawatan Presiden Umno penggal 2018/19.


Dalam satu sidang media di kediamannya, Tengku Razaleigh, atau lebih mesra dikenali sebagai Ku Li berkata, beliau membuat keputusan itu demi memastikan Umno terus relevan sebagai pertubuhan politik nasional yang menjunjung perpaduan kaum dan keharmonian ras sebagai gelegar dan teras negara.


Dalam pada itu, Tengku Putra Haron mencadangkan kepada para perwakilan untuk mencatatkan ‘pasukan’ mereka sendiri setelah menghalusi setiap satu calon supaya dapat memilih yang terbaik di antara mereka.


[ARTIKEL BERKAITAN: Tempoh BN dihukum, raja-raja Melayu dinilai]


Tengku Putra Haron sebelum ini berkata, BN telah dihukum apabila ia hilang kedudukan sebagai Kerajaan Persekutuan, buat pertama kali sejak penubuhannya.


Katanya lagi, sementara Umno dalam tempoh pembetulan pasaran politik, ia juga perlu dilihat sebagai amaran kepada Institusi Raja-raja Melayu di mana mereka juga dinilai dan dikritik secara terbuka oleh rakyat sebagaimana parti-parti politik.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]