Pilihan terletak pada perwakilan

in Edisi by


GUA MUSANG – Semua perwakilan Umno terutamanya Kelantan perlu membuat pilihan tepat dan jujur demi kelangsungan parti pada Pemilihan Umno 2018 akhir bulan ini.


Ketua Penerangan Umno Bahagian, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, dalam masa yang sama, beliau berlapang dada berhubung kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Jazlan Yaakub, menyatakan pendirian Umno Kelantan menyokong Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden Umno.


Namun demikian, katanya, sebagai ahli Umno dan perwakilan, beliau merasakan pengumuman itu tidak bersandarkan padangan akar umbi dan kehendak ahli Umno Kelantan secara keseluruhanya.


“Saya maklum mungkin keputusan ini dibuat memandangkan Ketua Bahagian merasakan mereka mempunyai kuasa penuh pada perwakilan di bahagian masing-masing.


“Saya kira ‘Zaman Ketua Tahu Semuanya’ sudah berakhir. Pandangan akar umbi dan kehendak sebenar pendokong parti perlu menjadi asas utama untuk keputusan penting.


“Dalam pemilihan kali ini, saya yakin ketua bahagian pun belum tentu kekal di kerusi masing-masing,” katanya ketika dihubungi.


Tambah Syahbuddin, tokoh kebanggaan, Tengku Razaleigh Hamzah, menawarkan diri bertanding jawatan Presiden Umno sebagai usaha membawa rupa baharu dalam Umno.


“Beliau seorang negarawan yang sarat jasanya buat Umno. Semoga kita tidak mengulangi kesilapan yang sama sewaktu PRU14 dengan mengetepikan pandangan akar umbi kerana mahu menjaga hati ‘panglima’ politik,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]