Promosi melalui perayaan

in Uncategorized by


IPOH – Kerajaan negeri berhasrat mahu mempromosikan tempat-tempat menarik di negeri ini melalui penganjuran acara-acara besar seperti sambutan rumah terbuka hari perayaan.


Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, melalui acara-acara atau penganjuran program di peringkat negeri, tempat-tempat menarik yang mungkin dahulunya tidak dikenali ataupun semakin dilupakan dapat diperkenal kepada pelancong.


Katanya, sebagai contoh Majlis Jamuan Hari Raya Kerajaan Negeri yang diadakan setiap tahun mungkin akan diadakan di lokasi berbeza di seluruh negeri.


“Kita sebenarnya ada banyak tempat-tempat menarik. Bukan sahaja kita ada MAPS (Taman Tema Filem Animasi Studio), kita ada Bulatan Amanjaya, Taman Tema Lost World Of Tambun, kita ada Bukit Merah Laketown Resort dan banyak tempat menarik yang ada di Ipoh ini. Malah taman rekreasi yang paling saya suka ialah Taman DR Seenivasagam.


“Kalau tempat-tempat ini dapat kita jadikan lokasi acara-acara pada masa akan datang, saya pasti ia akan mengembalikan kegemilangan tempat-tempat tersebut,” katanya kepada pemberita, semalam.


Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Jamuan Hari Raya Kerajaan Negeri Perak di MAPS, Bandar Meru Raya, di sini.


Hadir sama pada jamuan tersebut, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Gazali Jalal, Exco-Exco Kerajaan Negeri dan wakil-wakil rakyat Perak.


Sementara itu mengenai Jamuan Hari Raya Kerajaan Negeri iti,  Ahmad Faizal berkata, sambutan begitu menggalakkan apabila dalam masa sejam lebih 15,000 pengunjung hadir.


Malah disebabkan sambutan di luar jangkaan itu, beliau turut mengumumkan lanjutan masa yang sepatutnya tamat pada jam 6 petang kepada jam 8 malam.


Dalam pada itu, suasana di MAPS begitu meriah dengan kehadiran pengunjung yang bukan sahaja menikmati hidangan hari raya tetapi turut mengambil peluang bermain di taman tema tersebut.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]