‘Rakyat berhak tahu rundingan’

in Edisi Johor by


JOHOR – BN Johor mempersoalkan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) berhubung usaha dan prosiding rayuan ke atas Pulau Batu Puteh.


Ketua Pembangkang Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, keputusan kerajaan Harapan untuk tidak meneruskan usaha dan prosiding rayuan menyaksikan suara Bangsa Johor dibiarkan begitu sahaja.


“Tanpa didengari, tanpa dirunding terlebih dahulu. Di manakah kelantangan dan kredibiliti sebuah kerajaan negeri yang dikatakan mewakili rakyat dalam mempertahankan kedaulatan negeri dan negara?


“Dalam tempoh terlalu singkat, kerajaan hari ini telah membuta tuli bersetuju dan menzahirkan kedangkalan mereka dalam soal sebegini penting. Beginikah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan kompeten? Beginikah sebuah kerajaan yang mendahulukan kepentingan rakyat dan tanah air?,” katanya kepada Sinar Harian.


Hasni berkata, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah menetapkan untuk mendengar permohonan Malaysia bagi interpretasi penghakiman berhubung kedaulatan tuntutan negara dari 18 hingga 22 Jun ini.


Katanya, kebenaran permohonan itu diberikan berdasarkan bukti-bukti baharu yang telah dikemukakan oleh Kerajaan Johor dan Kerajaan Persekutuan sebelum ini.


“Sejarah juga telah membuktikan bahawa batuan itu pernah menjadi milik Kesultanan Johor yang berdaulat. Fakta itu disokong oleh pihak ICJ apabila ia menolak hujahan Singapura bahawa pulau tersebut adalah tanah tidak bertuan.


“Namun, kerajaan tidak mendedahkan asas dan alasan untuk tidak meneruskan proses rayuan itu. Kerajaan telah memaklumkan ICJ pada 28 Mei lalu bahawa tidak akan meneruskan prosiding yang dimulakannya sebelum ini. Perkembangan itu telah dimaklum dan dipersetujui oleh pihak Singapura,” katanya.


Beliau berkata, rakyat berhak untuk tahu asas-asas rundingan di antara semua pihak yang terlibat sehingga keputusan melepaskan tuntutan itu akhirnya dicapai.


Menurutnya, kerajaan negeri perlu sedar bahawa setiap tindakannya mesti mewakili suara Bangsa Johor dan mempunyai pendirian yang teguh dalam isu-isu berkaitan negeri ini.


Terdahulu, media melaporkan kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menarik diri daripada semakan keputusan ICJ mengenai kedaulatan Pulau Batu Puteh yang dicabar semula oleh pentadbiran kerajaan terdahulu.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]