Rezeki Syawal suami isteri

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


UMBAI – Kehadiran Aildilfitri dimanfaatkan sebaiknya bagi pasangan suami isteri ini untuk menambah pendapatan mereka menerusi perniagaan itik dan ayam pencen salai.


Pengusahanya, Zulkipli Mohamad, 44, berkata, dia menjalankan bisnes tersebut sejak tiga tahun lalu.


Menurutnya, walaupun pada awalnya bimbang tidak mendapat sambutan namun, dia tidak menyangka kebimbangan tersebut berjaya diatasi.


“Saya memulakan perniagaan ini kerana keluarga memang terlibat dengan perniagaan sama.

Bisnes itik dan ayam pencen salai mendapat sambutan baik daripada pelanggan di jasin


“Cuma mereka tertumpu di Masjid Tanah yang mana kawasan tersebut sangat popular dengan itik dan ayam pencen salai berbeza di Jasin mahupun kawasan sekitar.


“Tetapi saya bersyukur kerana sejak dijalankan, respons diterima sangat menggalakkan dan ia membuatkan saya nekad meneruskan perniagaan ini setiap kali syawal menjelma,” katanya.


Jelas Zulkifli, dia mendapat bekalan itik daripada pakciknya.


“Setakat ini bekalan masih mencukupi dengan bantuan pakcik saya,” katanya.


Bagi ayam pencen pula, dia mendapatkan bekalan dari kilang ayam yang dipercayai di sini.


Berkongsi mengenai jualannya, sehingga kini dia mampu menjual sekurang-kurangnya 200 itik salai setiap tahun.


Manakala ayam pencen pula sekitar 300 hingga 400 ekor.


Sementara itu isterinya Yuliza Yaacob,32, berkata, terdapat empat perniagaan itik dan ayam pencen salai diuruskan ahli keluarga lain di Bemban, Selandar dan Duyung.


“Kalau dulu peminat itik dan ayam pencen salai di Jasin perlu ke Masjid Tanah untuk membelinya, tetapi sekarang tidak perlu kerana kami sudah beroperasi di sini.


“Rasanya ia lebih memudahkan mereka kerana tidak perlu pergi lebih jauh,” katanya.


Turut menyediakan khidmat penghantaran ke rumah, kata Yuliza, khidmat tersebut disediakan secara percuma.


“Biasa petang sebelum raya kami akan hantar ke rumah pelanggan.


“Boleh dikatakan sejak tiga tahun lalu, perkhidmatan ini mendapat respon positif kerana mereka tidak perlu keluar untuk membelinya,” katanya.

Zulkifli (kiri) bersama pekerjanya menunjukkan itik salai sudah dimasak


Salai dengan arang


Berkongsi keistimewaan produk mereka, kata Yuliza setiap ia disalai menggunakan arang.


“Ramai bertanya kami salai guna apa, api gas atau macam mana, tetapi jika pelanggan datang ke sini, mereka dapat lihat sendiri kami menyalai di depan mata menggunakan arang.


“Bagi kami, pendekatan tradisional ini sangat penting supaya rasa salai itu dapat ditingkatkan dan keenakkannya lebih terserlah.


“Setiap itik dan ayam juga disalai lebih kurang 20 minit dan pelanggan boleh meminta untuk memasaknya mengikut kehendak mereka samaada biasa, lebih garing dan sebagainya,” katanya.


Kongsi resipi


Yuliza memaklumkan, biasanya itik salai lebih enak dimasak rendang berbanding itik biasa begitu juga ayam pencen salai.


“Macam-macam resipi salai ni sebenarnya, ada yang gemar masak kari, sup, lemak cili api dan sebagainya. Terpulang pada selera mereka,” katanya sambil menambah itik dijual pada harga RM32 seekor, manakala ayam pada harga RM10 seekor.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]