Rezeki ulang tahun perkahwinan

in Edisi by


PASIR MAS – Seorang kakitangan Skynet Cawangan Pasir Mas bertuah apabila memperoleh wang tunai RM500 menerusi peraduan Hari-Hari Duit Raya yang disertainya.


Raja Azhar Raja Ismail, 29, berkata, lebih manis rezeki tersebut hadir sempena ulang tahun perkahwinan ketujuh dengan isteri tercinta, Nur Aishah Ismail, 26, pada 1 Jun lalu.


“Lebih menggembirakan lagi, saya turut meraikan ulang tahun kelahiran keenam anak kami, Raja Adam Dainel.


“Ini adalah antara rezeki besar yang pernah saya terima dan ia hadir tepat masa masanya,” katanya.


Menurutnya, dia tidak menolak kemungkinan rezeki itu sebahagian berkat bulan Ramadan buat seluruh keluarga.


Katanya, dia akan memanfaatkan sebaik mungkin hadiah tersebut untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri.


Anak kelahiran Kampung Slow Machang itu berkata, dia sebenarnya tidak menyangka penyertaan sulungnya itu membawa tuah apabila terpilih untuk memenangi hadiah tersebut.


Katanya, dia menghantar penyertaan itu pada 24 Mei secara suka-suka selepas tertarik dengan peraduan itu.


“Saya selalu baca Sinar Harian, satu hari ternampak peraduan ini dan terdetik dalam hati untuk mencubanya.


“Saya terus isi borang penyertaan dan hantar menggunakan sampul surat buatan tangan,” katanya.


Raja Azhar berkata, selang beberapa minggu kemudian dia menerima panggilan dari pihak Sinar Harian memaklumkan kemenangan tersebut.


Katanya, terkejut dan teruja dengan perkara itu dia terus menghubungi Ketua Wartawan Sinar Harian Kelantan, Mohd Zailani Ab Rahman untuk mengesahkan kemenangan itu.


“Bila saya hubungi Mohd Zailani, dia sahkan perkara tersebut adalah benar,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]