Salah cergas hadapi Rusia

in Sukan by


PASUKAN Mesir boleh menarik nafas lega apabila ayam tambatan mereka, Mohamed Salah pasti diturunkan dalam perlawanan kedua Kumpulan A Piala Dunia menentang Rusia, Rabu ini.


Salah hanya memanaskan bangku simpanan sewaktu Mesir kecundang 0-1 di tangan Uruguay dalam perlawanan pertama selepas Jose Gimenez menanduk masuk gol kemenangan ketika aksi berbaki seminit.


Penggempur Liverpool itu bergelut untuk pulih daripada kecederaan bahu yang dialami ketika Real Madrid mengatasi pasukan kendalian Jurgen Klopp itu 3-1 dalam final Liga Juara-Juara di Kiev, 26 Mei lalu.


Bagaimanapun, menjelang aksi kedua itu, Persatuan Bola Sepak Mesir (EFA) mengesahkan pemain sensasi itu akan berada dalam kesebelasan utama dalam aksi bertemu Rusia yang juga tuan rumah kejohanan kali ini.


“Dia cergas ketika aksi berdepan Uruguay tetapi pengurus pasukan tidak mahu mengambil sebarang risiko.


“Tapi untuk pertemuan menentang Rusia, dia pasti diturunkan dalam kesebelasan utama. Salah adalah pemain yang amat hebat dan kami amat bersyukur dia sudah kembali bersama pasukan.


“Bagi pasukan, peranannya amat penting di padang dan dia sering memberikan pandangan yang bernas,” kata kenyataan pihak EFA.


Mesir dijangka berdepan cabaran getir dalam aksi kedua memandangkan Rusia mahu mengesahkan tiket ke pusingan kedua lebih awal selepas membelasah Arab Saudi 5-0 dalam perlawanan pembukaan, Khamis lalu.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]