'Saya tak ambil duit peniaga'

in Edisi Selangor KL by


KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun menafikan bahawa beliau terlibat dengan skandal Bazar Ramadan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menjadi perhatian sejak beberapa hari lalu.


Menerusi kenyataan yang dibacakan oleh pembantu khasnya, Sally Sian, Kui Lui menafikan sekeras-kerasnya bahawa beliau menerima sebahagian daripada wang yang dikutip oleh Ketua Pemuda Bersatu Bukit Bintang, Mohd Noorhisyam Abd Karim daripada peniaga terlibat.


“Kui Lui amat terkejut apabila mengetahui mengenai bayaran yang dibuat oleh peniaga terbabit serta tindakan DBKL yang terpaksa meluluskan permohonan oleh Noorhisyam ekoran suratnya sebelum ini,” katanya sewaktu membaca kenyataan itu.


Sebelum ini, Noorhisyam dikatakan telah menyalahgunakan pengaruh politik bagi mendapatkan 80 tapak bazar di Jalan Masjid India dan menyewakannya semula sehingga RM5,000 bagi satu lot dan mengaut keuntungan keseluruhan kira-kira RM400,000.


Kui Lun yang juga merupakan pemimpin veteran DAP turut terpalit dengan skandal berkenaan selepas beliau dikatakan menghantar surat sokongan kepada DBKL berhubung perkara itu.


Menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu, Sally berkata, sebelum ini, Noorrhisyam telah telah hadir ke pejabat Kui Lun dengan mendakwa beliau mewakili 80 peniaga bazar berkenaan.


“Dan pada 31 Mei lalu, Kui Lun telah mengeluarkan surat kepada DBKL menyatakan bahawa pihaknya tidak mempunyai halangan berhubung hasrat Noorhisyam tersebut yang dilihat dapat membantu golongan kurang berkemampuan untuk meniaga.


“Malah DBKL juga telah membalas surat itu pada 5 Jun lalu dan menyatakan bahawa pihak mereka telah mengkaji cadangan berkenaan,” katanya.


Menerusi surat itu juga, DBKL menyatakan bahawa pihaknya memberi dua opsyen kepada penganjur bazar berkenaan di mana pemberian tapak di Lorong Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India akan diberikan sekiranya terdapat kekosongan dan ia perlu dilakukan melalui proses pengundian di kalangan 80 peniaga terlibat.


“Dan opsyen kedua ialah DBKL akan mempertimbangkan cadangan untuk menganjurkan bazar Ramadan bermula dari Wakaf Buta hingga Masjid India namun tertakluk kepada pelbagai syarat.


“Kui Lui juga telah membalas surat berkenaan kepada DBKL menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap opsyen pertama dengan menggunakan senarai peniaga yang diserahkan oleh Noorhisyam sebelum ini,” katanya.


Berikutan permasalahan itu, Sally berkata Kui Lun bakal membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejurus selepas beliau pulang ke Kuala Lumpur pada minggu hadapan.


Tambahnya, Kui Lun akan menyediakan maklumat-maklumat berkaitan yang diperlukan oleh pihak berkuasa bagi memastikan permasalahan itu dapat dikenal pasti di peringkat akar umbi bagi menggelakkan isu korupsi berleluasa.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]