Siapa Menteri Besar Selangor esok?

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Teka-teki siapa Menteri Besar Selangor yang baharu dijangka diketahui esok iaitu semasa raptai majlis angkat sumpah jawatan itu di Istana Alam Shah, Klang.


Memetik laporan Astro Awani beberapa sumber dalaman Pakatan Harapan memberitahu, siapa di antara tiga nama Adun yang disebut-sebut menjadi calon Menteri Besar Selangor akan terjawab pada majlis berkenaan.


Kata sumber itu lagi, nama yang dikatakan menjadi menteri besar itu adalah Adun Ijok, Dr Idris Ahmad, Adun Sungai Tua, Amirudin Shari atau Adun Seri Setia, Shaharudin Badaruddin.


Bagaimanapun, khabar angin kuat mengatakan sama ada Dr Idris atau Amirudin sahaja dijangka menjadi pengganti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.


Sebuah portal sebelum ini melaporkan, Shaharudin mungkin tidak akan menerajui negeri kerana dia masih dalam sesi rawatan dan sedang memulihkan diri dari sakit.


Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan nama Dr Idris diserahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk dipertimbangkan sebagai calon Menteri Besar Selangor.


Amirudin dan Shaharudin adalah ahli exco pentadbiran sekarang manakala Dr Idris seorang pakar obstetrik dan ginekologi.


Spekulasi tentang siapa Menteri Besar Selangor mula bertiup selepas Mohamed Azmin menerima pelantikan sebagai menteri hal ehwal ekonomi.


[ ARTIKEL BERKAITAN: Azmin angkat sumpah Menteri Besar Selangor ]


Mohamed Azmin dikekalkan sebagai menteri besar sehingga penggantinya mengangkat sumpah pada 19 Jun ini.


Beliau mengambil alih jawatan menteri besar pada 2014 dari Tan Sri Khalid Ibrahim yang berundur dalam krisis menteri besar.


Pada 18 Mei lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan senarai 15 menteri Kabinet termasuk menamakan Mohamed Azmin sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.


Mohamed Azmin turut mengangkat sumpah sebagai menteri Kabinet pada 21 Mei lalu.


Sultan Sharafuddin juga telah memberi perkenan kepada Mohamed Azmin selepas disembah maklum oleh Timbalan Presiden PKR itu bahawa beliau bersetuju untuk menerima jawatan menteri di peringkat Kerajaan Persekutuan menerusi portfolio berkenaan.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]