Sunyi temani Syawal warga emas

in Edisi Selangor KL by


KAJANG – Tatkala kebanyakan kita menyambut ketibaan hari raya Aidilfitri dengan penuh meriah bersama keluarga dan saudara- mara, masih ada yang menyambutnya dengan ‘berteman’ kesunyian tanpa kunjungan keluarga atau waris terdekat.


Itulah realiti suasana sambutan hari raya bagi 70 warga emas di Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia di Kampung Sungai Sikamat.


Pengerusinya, Mohd Azmi Md Zin, 59, berkata, sejak enam tahun menguruskan pusat jagaan warga emas itu, suasana sambutan hari raya sering kali membangkitkan pilu di hatinya.


“Kalau nak gambarkan suasana tu, memang sunyi, boleh kata kemeriahan raya tu tak ada sebab tak ada orang.


“Kebanyakan orang sekeliling pun semua balik kampung, jadi tak ada orang datang berkunjung beraya seperti kebiasaan. Cuma tinggal mereka sesama mereka saja, tinggal kita sajalah di sini.


“Tanyalah kakitangan di sini malah saya sendiri pun rasa sedih, rasa pilu bila melihat mereka setiap kali tiba pagi Syawal. Apatah lagi mengenangkan mereka tiada sesiapa lagi melainkan sesama mereka saja,” katanya.

Mohd azmi


Setiap kali hari raya, Mohd Azmi menjelaskan pihak pengurusan tetap akan menyediakan juadah raya di pusat jagaan berkenaan malah turut mengalu-alukan kedatangan orang ramai  ke sana.


Menurutnya, kunjungan orang ramai sewaktu hari raya mampu memberikan sedikit senyuman dan kegembiraan kepada penghuni di situ.


“Setiap kali tiba hari raya, biasanya kita sebagai pihak pengurusan akan menyediakan makanan atau juadah hari raya seperti lemang, ketupat dan sebagainya untuk mereka. Malah kita jemput masyarakat sekeliling, rakan-rakan di sekitar sini atau sesiapa saja datang berkunjung ke sini, kita jemput untuk beraya dan makan bersama-sama warga emas di pusat jagaan ini.


“Sebab kita lihat inisiatif demikian setidak-tidaknya  semua mampu untuk berkongsi sedikit rasa kemeriahan sambutan hari raya bersama mereka, hilangkan rasa pilu mereka.


“Memang saya berharap sangatlah kepada sesiapa saja yang berada di sekitar Lembah Klang, jika ada masa terluang jemputlah datang beraya bersama-sama dengan penghuni di sini.


“Mereka sentiasa rasa kesunyian dan keseorangan, walaupun ada kawan di sini tapi pasti lain rasa dan kemeriahannya bila menerima kunjungan masyarakat biarpun tiada pertalian darah,” katanya.


Sementara itu, sejak awal Ramadan lalu, sebuah syarikat kontena telah membina surau bagi kemudahan penghuni Pusat Jagaan Al-Fikrah menunaikan solat sunat tarawih dan solat sunat Aidilfitri.


“Sebelum ini, pagi raya kita akan bawa mereka yang mampu ke surau atau masjid berdekatan untuk solat sunat Aidilfitri.


“Alhamdulillah, tahun ini kita ada surau sendiri yang baru siap dibina menggunakan kontena pada awal Ramadan, hasil sumbangan sebuah syarikat. Jadi lebih ramai dan lebih mudah untuk warga emas ini menunaikan solat tarawih dan solat sunat hari raya,” katanya.


Kesemua 70 penghuni pusat jagaan berkenaan beragama Islam termasuk beberapa mualaf dan diuruskan oleh 15 kakitangan termasuk Mohd Azmi.


Mohd Azmi menjelaskan, jumlah itu adalah maksimum kerana beberapa kekangan termasuk kos perbelanjaan memandangkan hampir semua perbelanjaan pusat jagaan itu bergantung kepada dana sumbangan orang ramai, NGO serta badan kebajikan yang prihatin terhadap keperluan warga emas di situ.


Mohd Azmi mengalu-alukan mereka yang berdekatan pusat jagaan itu meluangkan masa mengunjungi Pusat Jagaan Al-Fikrah dan berkongsi kemeriahan menyambut raya bersama warga emas di sana.


Jika ada yang ingin membuat sumbangan persendirian atau tanggungjawab sosial korporat boleh menghubungi Mohd Azmi di talian 016-3355960 atau menerusi sumbangan atas nama Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia melalui akaun Maybank Islamic (5641 5555 1966) atau Bank Muamalat (1207 0005 9727 13).


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]