Aifa buru slot terakhir ke sukan Asia

in Sukan by


PEMAIN skuasy remaja kebangsaan, Aifa Azman mengintai peluang mengisi tempat terakhir ke Sukan Asia 2018 di Indonesia, Ogos ini walaupun terpaksa berdepan saingan sengit beberapa rakan sepasukan lain.


Juara Kejohanan Remaja Terbuka British bawah 17 tahun itu sedar perebutan tempat ke temasya sukan berkenaan amat mencabar kerana ratu skuasy negara, Datuk Nicol David hampir pasti disenaraikan ke temasya sukan berkenaan.


Hanya dua nama akan disenaraikan oleh Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) untuk menggalas cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki dan wanita pada Sukan Asia 2018.


“Saya perlu bersaing dengan Rachel Arnold, S Sivasangari dan Low Wee Wern untuk mengisi slot terakhir dan walaupun sukar, Aifa akan cuba merebut tempat dan pamerkan aksi terbaik dalam setiap kejohanan sebelum ke Sukan Asia.


“Jurulatih akan tengok keputusan Aifa pada Kejohanan Kebangsaan dan Terbuka Malaysia, bulan depan yang akan menjadi penentu sama ada Aifa layak atau tidak beraksi pada Sukan Asia,” katanya kepada Bernama, baru- baru ini.


Dalam pada itu, Aifa, 16 berkata, beliau diberi rehat selama beberapa hari oleh jurulatih kebangsaan, Andrew Cross untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarganya di Alor Setar, Kedah sebelum kembali menyambung latihan minggu ini.


“Saya  sudah menang empat kejohanan tempatan dan ranking dunia saya bertambah baik dan saya gembira kerana memenuhi sasaran kelompok 70 pemain terbaik dunia,” kata pemain ranking ke-64 dunia itu yang membuat penampilan sulung pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, April lalu. – Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]