Dr Azhar tanding Ketua Umno Bahagian Beruas

in Edisi by


IPOH – Timbalan Ketua Umno Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad mengumumkan bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian itu pada pemilihan kali ini.


Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas Ketua Umno Bahagian Beruas sedia ada, Datuk Abd Manaf Hashim tidak lagi mempertahankan jawatan tersebut.


Katanya, bagaimanapun ia bukan sesuatu yang mudah kerana pertandingan itu dijangka akan turut disertai beberapa individu untuk merebut jawatan itu.


“Kita mahu Umno berubahan dan inilah masanya. Tak perlu halang sesiapa nak bertanding mana-mana jawatan supaya persaingan lebih sihat.


“Saya terbuka dan mahu perwakilan memilih sesiapa sahaja yang mereka rasakan mampu untuk membawa perubahan kepada parti di Bahagian Beruas,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.


Beliau berkata, ahli berhak membuat keputusan secara telus tanpa ada halangan oleh mana-mana pihak seperti yang pernah berlaku sebelum ini.


Azhar berkata, semua pemimpin lama parti sama ada di peringkat pusat mahupun bahagian mencontohi Abd Manaf yang memberi peluang kepada muka-muka baharu untuk meneruskan perjalanan parti.


“Yang dah lama tu sudah-sudahlah. Berilah peluang kepada orang lain untuk lakukan perubahan. Rakyat sedang melihat bagaimana Umno berubah.


“Inilah masa yang tepat untuk lakukan perubahan seperti yang diinginkan rakyat. Rakyat tidak menolak Umno tetapi mahu Umno sedar dan berubah,” katanya lagi.


Menurut Azhar, pemilihan kali ini perlu berlangsung secara sihat tanpa dipengaruhi faktor-faktor tertentu sebaliknya tampil bertanding atas kekuatan dan kebolehan diri sendiri.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]