Exco sambut baik cadangan ketua pembangkang

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor menyambut baik cadangan Ketua Pembangkang Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad agar bekas ketua kampung yang ditamatkan perkhidmatan memohon semula jawatan tersebut selepas meletakkan jawatan sebagai ketua Umno cawangan.


Exco Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu sangat penting kerana jawatan ketua kampung adalah rantaian kepimpinan akar umbi.


“Saya menyambut baik cadangan dikemukakan oleh beliau bahawa mana-mana bekas ketua kampung boleh mohon jawatan ketua kampung semula dengan syarat mereka melepaskan jawatan sebagai ketua Umno cawangan.


“Pada saya ini sangat penting kerana jawatan ketua kampung merupakan rantaian kepimpinan di peringkat akar umbi mana-mana kerajaan bermula daripada Pegawai Daerah, Penghulu, Ketua Kampung dan JKKK,” katanya kepada Sinar Harian.


Dzulkefly berkata, sebagai kepimpinan di peringkat akar umbi sudah semestinya bekas ketua kampung tersebut memahami dan melaksanakan dasar pemerintahan kerajaan yang berkuasa iaitu Pakatan Harapan (Harapan).


Selain itu, katanya, jawatan ketua kampung diiklankan baru-baru ini adalah terbuka kepada individu yang memenuhi kriteria ditetapkan.


“Proses temu duga akan dijalankan bagi memastikan hanya mereka yang berkelayakan sahaja akan dipilih untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut,” katanya.


Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, Hasni meminta bekas ketua kampung yang ditamatkan perkhidmatan memohon semula jawatan berkenaan di bawah kepimpinan kerajaan Harapan.


Bagaimanapun, beliau berkata, bekas ketua kampung terbabit perlu meletak jawatan sebagai ketua Umno cawangan terlebih dahulu bagi membolehkan pelantikan semula dilakukan.


Menurutnya, peranan ketua kampung perlu dilihat lebih menyeluruh dan tidak memihak kepada mana-mana fahaman tertentu terutama landskap perubahan politik hari ini.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]