Janji selesai masalah tanah di Kampung Bakar Batu

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri beri jaminan akan cari jalan penyelesaian berhubung masalah tanah kediaman yang dihadapi sejak sekian lama oleh penduduk Kampung Bakar Batu.


Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, penyelesaian akan dilakukan berdasarkan situasi menang-menang yang memberi manfaat kedua-dua belah pihak.


“Jangan pula nanti kalau kita sudah mengeluarkan satu kertas kerja yang baik, yang lebih kepada dua belah pihak mendapat faedah yang baik, ada pula nanti yang tidak setuju. Sudah tentu kertas kerja itu akan gagal nanti.


“Mustahaknya perkara yang sudah tergantung begitu lama, kita dapat selesaikan sebaik mungkin. Saya tidak akan mengetepikan segala pertolongan dan jasa penduduk kepada Pakatan Harapan (Harapan) selama ini,” katanya kepada Sinar Harian.


Osman berkata, kerajaan negeri pimpinan Harapan berusaha menjadi sebuah kerajaan yang menyebelahi malah tidak akan terlepas pandang untuk membela rakyat termasuklah penduduk Kampung Bakar Batu terletak di bawah Parlimen Pulai itu.


“Kita mahukan supaya kepimpinan dalam Harapan ini tidak lari daripada asas dan matlamat yang asal dulu semasa kita jadi pembangkang.


“Permasalahan kampung ini jugalah yang saya anggap sebagai perkara yang perlu diselesaikan segera tetapi tidak begitu mendadak,” katanya.


Katanya, beliau akan memastikan pembangunan yang akan dilaksanakan dirujuk terlebih dahulu.


“Saya mempunyai kuasa untuk menahan dan membatalkan pembangunan jika tidak bertepatan dengan kemahuan kedua-dua belah pihak.


“Mereka yang mahu buat pembangunan kena datang jumpa saya. Saya akan kenakan beberapa syarat yang boleh bantu dan pertahankan nasib serta masa depan penduduk di sini,” katanya.


Osman yang juga Adun Kempas bersependapat bahawa penduduk Kampung Bakar Batu perlu tetap tinggal di kawasan berkenaan.


Menurutnya, cara dan kaedah untuk menjayakan hasrat tersebut akan diperhalusi oleh kerajaan negeri meskipun wujud cabaran dan kesukaran.


Isu tanah kediaman penduduk Kampung Bakar Batu, di Taman Perling bukan lagi masalah baharu yang dibangkitkan oleh Harapan ketika menjadi pembangkang sebelum ini.


Ia telah dibawa ke Sidang Dun Johor untuk mendapat perhatian kerajaan negeri pimpinan terdahulu agar menilai semula masalah tanah kediaman penduduk berkenaan.


Sebelum ini, terdapat arahan kepada penduduk untuk mengosongkan kediaman mereka dan diminta untuk berpindah dari kawasan itu.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]