Kutipan zakat catat peningkatan

in Edisi Utara by


BALING – Kutipan zakat merangkumi zakat harta, fitrah dan fidyah oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) cawangan Baling mencecah RM1.18 juta.


Pegawai LZNK Baling, Ahmad Mustaqim Zainul Abidin berkata, jumlah itu dijangka mencecah RM3 juta secara keseluruhan.


Menurutnya, berbanding Jun tahun lalu, jumlah dikutip hanya sekitar RM700,000 hingga RM800,000 manakala jumlah keseluruhan ialah RM2.3 juta.


“Kita kutip RM1.18 juta dan kita agih setakat hari ini sebanyak RM3.2 juta. Berbanding tahun lalu, kita berjaya kutip sebanyak RM2.3 juta secara keseluruhan dan agih sebanyak RM8.2 juta.


“Ia merangkumi bantuan bina rumah, baiki rumah, miskin bulanan, sara hidup, rawatan, bantuan segera dan bantuan lain,” katanya.


Ahmad Mustaqim berkata, sebaran maklumat berkaitan zakat di laman media sosial faktor penyumbang kenaikan zakat tahun ini.


“Dahulu kita ada juga Facebook dan sebagainya, tetapi kurang digunakan. Tetapi tahun ini kita perhebatkan kempen dan juga agihan kepada masyarakat.


“Mungkin dengan cara ini masyarakat nampak agihan kita seterusnya memberikan kepercayaan kepada LZNK,” katanya.


Dalam pada itu, Ahmad Mustaqim berkata, empat mangsa kebakaran premis di bangunan Majlis Daerah Baling (MDB) turut diberikan bantuan LZNK.


“Setiap seorang kita bantu RM1,000. Walaupun bantuan itu tidak seberapa, tetapi ia dapat ringankan beban mereka,” katanya.


Beliau berkata, keluarga mangsa kebakaran di Kampung Tok Weng bakal menghuni kembali rumah terbabit selepas ini.


“Kita jangka binaan tersebut akan siap dalam tempoh sebulan atau lebih.


“LZNK juga menyampaikan bantuan makanan dan bantuan tunai RM3,000 kepada keluarga itu untuk membeli pakaian raya dan sewa rumah sementara,” katanya.


Sinar Harian pada 10 dan 13 Jun lalu melaporkan kebakaran rumah Che Gayah Dahaman, 66, di Kampung Tok Weng dan kebakaran tiga premis perniagaan dan sebuah pejabat pusat khidmat wakil rakyat di Kuala Ketil.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]