Parti Warisan fail petisyen cabar keputusan PRU14

in Politik by


KOTA KINABALU – Parti Warisan memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan empat kerusi Parlimen dan empat kerusi Dun pada PRU14, di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.


Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua Jr, berkata empat kerusi Parlimen tersebut adalah Kimanis, Sipitang, Keningau dan Libaran manakala kerusi Dun yang terlibat adalah Sungai Sibuga, Kundasang, Sook dan Kiulu.


Beliau berkata, antara bukti yang mereka perolehi di kawasan berkenaan adalah menawarkan wang untuk mendapatkan undi, pertambahan kotak undi pos dan juga isu Borang 14.


“Hari ini merupakan hari terakhir untuk memfailkan petisyen. Bagi pihak Warisan, kami telah failkan failkan lapan petisyen melibatkan empat kerusi Parlimen dan empat kerusi Dun,” katanya kepada media di pekarangan mahkamah.


Loretto berkata, seramai lapan pasukan peguam, di mana setiap pasukan dianggotai dua hingga tiga orang peguam, akan terlibat dalam kes berkenaan.


Beliau juga yakin Warisan akan memenangi kes itu berdasarkan bukti yang mereka perolehi.


Pada 21 Mei lalu, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sabah di Istana Negeri, di sini.


Mohd Shafie, 61, mengangkat sumpah jawatan itu pada jam 9.15 malam di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.


Mohd Shafie mengangkat sumpah selepas parti pimpinannya bersama PKR dan DAP memiliki 35 daripada 60 kerusi Dun, sekali gus boleh membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. – AWANI


Source: SH Politik

[featured-video-plus]