Rezeki penjual buah jentik

in Edisi Utara by


SIK – Buah jentik yang berbuah di luar pada musimnya memberikan rezeki berganda kepada penjualnya.


Gayakamar Wahab, 64, berkata, gerainya yang beroperasi di tepi jalan raya Kampung Batu Besar sejak tiga hari lalu tidak putus-putus menerima kunjungan pelanggan.


Katanya, ada pelanggan sanggup beratur panjang semata-mata mahu merasai keenakan buah berkenaan.


“Musim buah ni sepatutnya pada tiap kali Aidiladha, tapi kali ni ada yang berbuah salah musim.


“Ramai yang nak balik Kuala Lumpur, Selangor dan Kelantan singgah untuk beli buah ni,” katanya kepada Sinar Harian.


Namun katanya, rasa buah berkenaan yang masam-masam manis akan bertukar masam seandainya kulit buah merekah.


“Walaupun dah masak, tapi kulit pecah (merekah) buah memang jadi masam. Tapi jika tak pecah dan kulit sampai jadi hitam, warna buah tetap sama dan manis,” katanya.


Katanya, bekalan akan cepat habis sekiranya dibeli pelanggan dari Kelantan.


“Orang Kelantan cukup suka buah ni, selalunya buah ni habislah dibeli,” katanya.


Gayakamar berkata, jalan raya di tepi lokasi jualan turut sesak.


“Kelmarin, jalan di sini sampai sesak sebab pemandu masing-masing cari parkir.


“Ada yang terpaksa berjalan 500 meter untuk datang beli dan sempatlah beli setangkai, kita tengok pun kesian,” katanya.


Gayakamar berkata, dia menjual buah jentik berkenaan pada harga RM10 sekilogram manakala RM6 pada musim ia berbuah.


Tambahnya, di luar daerah Sik, buah itu mampu mencecah pada harga RM15 hingga RM20 sekilogram.


“Luar Sik ada yang jual RM15 sekilo, di Kuala Lumpur harga RM20 pun ada orang jual,” katanya.


Pelanggan, Wan Wan Zulkifkli, 34, berkata, selama ini dia belum pernah merasai buah jentik.


“Waktu pandu kereta saya nampak gerai buah ni, ingatkan buah apa sebab tu singgah.


“Rasanya ok, masam-masam manis, lagipun bukan selalu dapat,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]