Satu maut, gempa bumi 5.3 magnitud landa Osaka

in Global by


TOKYO – JEPUN. Seorang budak perempuan berusia sembilan tahun terbunuh dan seorang lagi dikhuatiri mengalami nasib sama selepas gempa bumi kuat melanda bandar kedua Osaka, hari ini.


Namun tiada sebarang laporan terkini diterima berhubung kesan kerosakan atau amaran tsunami.


Menurut Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi berukuran 5.3 magnitud itu berlaku pada kedalaman 15.4 kilometer pada jam 7.58 pagi (waktu tempatan) berhampiran Osaka.


Agensi meteorologi Jepun pula memberitahu, tiada risiko tsunami dicatatkan setakat ini.


Polis tempatan berkata, kematian pertama itu dicatatkan di bandar Takatsuki di utara Osaka.


Media melaporkan, mangsa terperangkap apabila dinding sekolahnya runtuh.


Perdana Menteri Shinzo Abe memberitahu wartawan, kerajaan sedang mengambil segala tindakan yang perlu dan keutamaan diberikan kepada usaha menyelamatkan nyawa penduduk.


Beliau berkata, semua petugas telah diberi arahan untuk mendapatkan maklumat lengkap berhubung kerosakan dan menumpukan kepada usaha menyelamatkan nyawa, selain membekalkan maklumat lengkap, tepat dan pantas bagi disebarkan kepada orang ramai.


Gegaran berkenaan menyebabkan bekalan elektrik terputus dan menjejaskan ribuan kediaman serta operasi perkhidmatan kereta api yang tergendala selama beberapa jam.


Turut dilaporkan ialah kebakaran membabitkan sebuah rumah di bandar Osaka selepas gempa bumi itu berlaku. – AFP


Source: SH Global

[featured-video-plus]