Seronok lihat pokok kurma berbuah

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Bukan lagi perkara asing apabila pokok kurma yang subur ditanam di negara Timur Tengah kini dilihat berbuah di negara ini.


Di Seremban, satu daripada lapan pokok kurma yang ditanam di perkarangan Masjid Negeri sejak 10 tahun lalu sedang berbuah lebat dan menarik perhatian ramai setelah tular di media sosial.


Eksekutif Masjid Negeri, Mohd Nidzar Nor Mohamad berkata, cadangan menanam pokok berkenaan adalah cetusan idea bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan pada tahun 2007.


“Saya difahamkan perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan masjid yang ketika itu dipengerusikan oleh beliau.


“Jadi, beliau telah minta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (Jheains) buat pembelian lapan pokok kurma dengan melantik sebuah syarikat untuk urusan penanamannya,” katanya kepada Sinar Harian.


Menurutnya, satu pokok berharga RM2,000 dan benihnya diperoleh daripada Thailand sebelum ditanam di Muar, Johor.


Beliau berkata, satu daripada pokok itu berbuah buat kali pertama pada tahun 2012 tetapi tidak berapa menjadi dan buahnya habis dimakan burung.

Norhayati (tengah) dan rakan-rakannya menunjukkan buah kurma yang gugur.


“Tahun 2013 pun macam itu juga dan ada kakitangan masjid yang ambil dan peramnya beberapa hari.


“Saya diberitahu rasanya memang sedap,” katanya.


Sementara itu, kakitangan Jheains, Norhayati Yaakob, 51, dia dan rakan-rakannya sentiasa tertunggu-tunggu pokok itu berbuah.


“Saya dan kawan-kawan perasan pokok ini berbuah pada 1 Ramadan lalu. Walaupun hanya satu pokok yang berbuah tapi ia agak lebat.


“Bagi saya ia seakan jadi satu tarikan kerana biasanya pokok ini subur ditanam di negara Arab,” katanya.


Manakala Danial Ismail, 35, yang bekerja di Seremban 2 sanggup datang ke masjid berkenaan semata-mata untuk melihat pokok kurma terbabit selepas tular.


Katanya, sememangnya pokok kurma berbuah di negara ini bukan lagi perkara asing tetapi ia tetap menarik perhatian.


Tinjauan Sinar Harian di Taman Tasik Seremban juga mendapati beberapa pokok kurma yang ditanam di situ berbuah.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]