Adun Selinsing umum bertanding

in Uncategorized by


SELINSING – Kemeriahan pertandingan jawatan tertinggi di peringkat pusat dan bahagian dalam pemilihan Umno tahun ini membuktikan sekatan amalan demokrasi terbuka yang membelenggu parti itu sejak sekian lama sudah terlerai.


Pemangku Timbalan Ketua Umno bahagian Bagan Serai, Mohammad Nor Dawoo berkata, keberanian lebih ramai pemimpin dari pelbagai latar belakang dan peringkat umur untuk bertanding dalam jawatan tertinggi parti menggambarkan amalan demokrasi yang benar-benar jelas sudah mula diterapkan parti pada pemilihan kali ini.


Menurutnya, senario pertandingan bagi jawatan Presiden Umno melibatkan tujuh penjuru juga membuktikan mana-mana pemimpin tiada lagi halangan untuk bertanding dalam sebarang jawatan yang dirasakan mampu digalas mereka.


“Keadaan ini juga memberi alternatif baik kepada Umno bagi memberi ruang kepada pemimpin yang benar-benar ikhlas untuk memulihkan kembali imej parti tanpa mengambil kira kedudukan pemimpin itu dalam parti sebelum ini,” katanya kepada media pada Majlis


Rumah Terbuka Aidilfitri Adun Selinsing di rumahnya di Kampung Sungai Protan, di sini, hari ini.


Mohammad Nor yang juga Adun Selinsing berkata, senario kemeriahan pertandingan jawatan tertinggi Umno di peringkat pusat dan bahagian perlu dilihat dari aspek positif dan parti jangan bersikap jumud sehingga tidak memberi ruang kepada pemimpin lain.


Menurutnya, sebagai perbandingan, keputusan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk turut bertanding merebut jawatan Presiden parti juga menggambarkan semangat pemimpin muda yang sudah berani meluahkan pandangan untuk memulihkan kembali parti.


“Apa pun keputusan selepas pemilihan berlangsung, ketujuh-tujuh calon mesti terima dengan hati terbuka dan kembali bekerjasama untuk mengukuhkan kembali Umno bagi mendepani masa hadapan


“Siapa yang terpilih, pastinya dia adalah pilihan terbaik. Namun bagi tidak terpilih, janganlah merajuk sampai lompat ke parti lain,” katanya.


Ditanya mengenai calon mana yang paling sesuai menjadi Presiden Umno pada pemilihan kali ini, Mohammad Nor menegaskan beliau hanya akan memilih pemimpin yang mengetengahkan satu dasar yang bukan sahaja diterima kesemua ahli-ahli Umno, malahan turut


diterima baik rakyat.


Dalam perkembangan lain, Mohammad Nor turut mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua Umno bahagian Bagan Serai bagi menggantikan bekas penyandang, Datuk Abdul Muhaimin Abdul Rahman Nadzri yang kini berhijrah ke parti Bersatu.


Menurutnya, hasrat itu mendapat restu Ketua Umno bahagian, Datuk Sham Mat Sahat dan pihaknya berharap keputusan itu mendapat sokongan semua ahli Umno bahagian meskipun berlaku pertandingan dua penjuru.


“Selain jawatan Timbalan Ketua Umno bahagian, jawatan lain termasuk Ketua Umno bahagian sendiri juga ada berlaku pertandingan kecuali jawatan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]