Amirudin angkat sumpah MB Selangor baharu

in Nasional by


KLANG – Teka-teki mengenai calon Menteri Besar Selangor terjawab setelah Adun Sungai Tua, Amirudin Shari mengangkat sumpah bagi memegang jawatan itu di Istana Alam Shah, sebentar tadi.


Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah itu berlangsung di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bermula jam 10.00 pagi ini.


Amirudin yang juga merupakan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan tiba di pekarangan Balairung Seri Istana Alam Shah sekitar jam 8.20 pagi bersama isterinya, Masdiana Muhamad.


Sebelum ini, pelbagai spekulasi timbul mengenai calon bagi jawatan itu selepas bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerima pelantikan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.


Selain Amirudin, antara nama lain yang turut disebut bagi menggantikan Mohamed Azmin sebelum ini adalah Adun Ijok, Dr Idris Ahmad dan Adun Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Badarudin.


Dalam pada itu, majlis istiadat berkenaan turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin; Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah; Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dan pembesar-pembesar negeri.

Rodziah angkat sumpah Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor berkuat kuasa hari ini.


Terdahulu, Amirudin berkesempatan untuk mengikuti Majlis Serah Kuasa Menteri Besar Selangor bersama Mohamed Azmin di Balai Mengadap Istana Alam Shah sekitar jam 9.30 pagi. Mohamed Azmin dan isterinya, Datin Seri Shamsidar Taharin turut hadir di Istana Alam Shah bagi bersama-sama mengikuti majlis berkenaan.


Dalam majlis berkenaan, Amirudin turut melafazkan ikrar aku janji merangkumi 10 perkara yang perlu beliau penuhi serta patuhi sepanjang memegang jawatan itu.


Antara kandungan aku janji tersebut adalah memelihara serta memastikan agama Islam tidak diganggu gugat serta menghormati agama bukan Islam; memelihara institusi raja dariĀ  diganggu; mematuhi arahan tuanku sultan.


Selain itu, Amirudin turut berikrar bagi memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta kepentingan sah kaum lain; melaksanakan tugas dengan penuh intergriti serta tanggungjawab; mendahulukan rakyat; memastikan kemakmuran negeri itu ditahap tertinggi; memelihara jawatan yang diamanahkan dari dicemari tindakan menyalahi undang-undang dan memelihara perpaduan.


Dalam majlis yang sama, Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail turut mengangkat sumpah sebagai Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor berkuat kuasa hari ini.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]