Bangga anak Johor jadi MB Selangor

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – PKR Johor ucap tahniah di atas pelantikan Adun Sungai Tua, Amiruddin Shari sebagai Menteri Besar Selangor ke-16, semalam.


Pengerusinya, Hassan Karim berkata, ucapan terima kasih turut dirakamkan ke atas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atas sokongan padu yang diberikan semasa berkhidmat sebagai Menteri Besar Selangor.


“Semoga terus maju jaya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi di peringkat pusat,” katanya kepada Sinar Harian.


Hassan berkata, ucapan tahniah juga dirakamkan kepada PKR dan Pakatan Harapan (Harapan) Selangor kerana berjaya menampilkan seorang tokoh anak muda untuk menerajui tampuk kepimpinan Kerajaan Selangor.


“Pastinya dengan lantikan tokoh anak muda sebagai Menteri Besar baharu, Kerajaan Selangor akan menjadi lebih dinamik, berinovasi, berwawasan dan mempunyai semangat yang lebih jitu dalam menghadapi cabaran mendatang.


“Sebagai anak kelahiran Benut, Pontian, seluruh warga PKR dan rakyat Johor amatlah merasa bangga di atas lantikan ini. Kami berharap agar Menteri Besar dapat menjadi jambatan bagi mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama di antara Kerajaan Selangor dan Kerajaan Johor,” katanya.


Beliau berkata, PKR Johor sentiasa mendoakan semoga Menteri Besar Selangor dipermudahkan dalam urusan tadbir negeri, menjadi pemimpin yang cekap, bersih dan disayangi ramai.


“PKR Johor yakin Selangor akan terus bertambah maju, makmur dan gemilang di bawah pimpinan Amiruddin. Tahniah  diucapkan dan selamat menjalankan tugas,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]