Bapa Altantuya nafi dibayar untuk tutup kes

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Bapa warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang dibunuh pada 2006, menafikan beliau pernah menerima wang daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atau kerajaan terdahulu untuk menutup kes pembunuhan tersebut.


Sambil berseloroh, Shaariibuu Setev berkata, kerajaan Pakatan Harapan sudah merampas wang bekas perdana menteri itu yang sepatutnya digunakan untuk membayar beliau dan keluarganya.


“Saya pernah dengar khabar angin seperti ini yang Najib sudah bayar saya wang, tetapi ia tidak benar,” katanya dalam sidang media sambil ditemani peguamnya, Ramkarpal Singh hari ini.


Setev dan cucunya menyaman kerajaan Malaysia serta tiga tertuduh, Cif Inspektor Azilah Hadri, Koperal Sirul Azhar Umar dan Abdul Razak Baginda untuk ganti rugi RM100 juta atas kematian Altantuya yang dibunuh antara 19 hingga 20 Oktober 2006.


[ARTIKEL BERKAITAN: Bapa Altantuya jumpa Peguam Negara esok]


Wanita berusia 28 tahun itu ditembak di kepala sebanyak dua kali, sebelum mayatnya dililit bahan letupan gred tentera dan diletupkan di dalam hutan. Motif jenayah dan dalang pembunuhan itu sehingga kini tidak diketahui.


Azilah dan Sirul yang juga anggota Unit Tindakan Khas yang menyediakan khidmat pengawal peribadi kepada pemimpin tertinggi negara, disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.


Bagaimanapun, Sirul melarikan diri ke Australia sebelum mahkamah membuat keputusan terakhir dan kemudian ditahan di Sydney hampir 2 tahun.


 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]