Beraya dalam banjir

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


MELAKA TENGAH – Kira-kira 38 mangsa dari tujuh keluarga di Kampung Sungai Air Hitam, Tanjung Minyak, di sini, terpaksa menyambut Aidilfitri dalam keadaan rumah mereka digenangi air.


Ia berlaku pada hari raya keempat selepas hujan lebat melanda selama lebih tiga jam tanpa henti sejak jam 3 pagi.


Tinjauan Sinar Harian mendapati air naik sehingga satu meter dan memasuki kediaman penduduk sejak jam 6 pagi, semalam.


Mangsa, Rohayah Lemat, 42, berkata, sebaik menyedari air mula memasuki rumah, dia dan keluarga segera mengalihkan beberapa barangan ke tempat lebih tinggi.


“Banjir mula melanda sejak jam 6 pagi dan sebaik bangun tidur tengok air dah penuh di halaman kemudian memasuki rumah. Saya kejutkan semua anak-anak bangun, alihkan barangan dan alihkan kereta.


“Sepatutnya hari ini (semalam), cadangannya nak bawak anak-anak mandi laut tapi akhirnya cakap dengan anak-anak mandi kat laman rumah saja,” katanya kepada Sinar Harian.


Mangsa lain, Lina Ngah, 68, berkata, semua pakaiannya basah kerana dia tidak sempat mengalihkannya ketika air mula memasuki rumahnya.


“Makcik hanya sempat alihkan beberapa barangan sahaja ke tempat tinggi tetapi kain baju tak sempat nak angkat.


“Keadaan sebegini kerap berlaku dan kali terakhir ketika Hari Raya Aidiladha tahun lepas. Masa itu, air naik sampai  ke paras pinggang,” katanya.


Seorang lagi mangsa, Zulashraf Mohd Zulkifli, 31, mendakwa, punca berlakunya banjir kilat disebabkan wujudnya banyak taman-taman baharu.


Dakwanya lagi, perkara tersebut bertambah buruk apabila sistem perparitan yang ada tidak diselenggarakan dengan baik.  


“Salah satu cabang Sungai Air Hitam tidak diselenggarakan dengan betul kerana satu mengalir dari taman dan satu lagi dari sungai asal.


“Jadi, setiap kali hujan lebat mesti berlaku banjir kilat,” katanya.


Menurutnya, aduan telah dibuat beberapa kali kepada pihak bertanggungjawab berhubung masalah ini namun jawapan diterima mengecewakan.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]