Bimbang masalah pelupusan sampah meruncing

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor menyifatkan masalah pengurusan sisa pepejal di negeri ini kian meruncing.


Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Pin berkata, statistik diterimanya mendapati terdapat banyak tapak pelupusan sampah hampir tamat jangka hayatnya.


“Ada tapak pelupusan yang sebenarnya telah tamat tempoh dan sepatutnya ditutup tapi kita terpaksa melanjutkan penggunaannya.


“Ia adalah satu masalah yang amat membimbangkan dan perlu ditangani dengan segera,” katanya kepada Sinar Harian.


Hong Pin berkata, beliau akui bimbang dengan perkara itu berikutan tiada lagi tempat untuk menguruskan sisa-sisa pepejal yang dihasilkan.


“Sekiranya tidak diuruskan dengan baik, kita buat 10 lagi tapak pelupusan pun tidak cukup apatah lagi di sekitar Johor Bahru.


“Kita sebenarnya menghadapi kekangan tanah yang sesuai untuk dijadikan tapak pelupusan sampah,” katanya.


Justeru itu, katanya, satu dasar atau program pengasingan sisa pepejal dipunca (PSDP) perlu dijalankan dengan jayanya supaya sampah yang dihantar ke tapak pelupusan dapat dikurangkan pada tahap yang paling minimum.


“Saya menyeru sama-sama kita jayakan program PSDP dan jadikan Zero Waste ke tapak pelupusan sebagai salah satu sasaran kita


“Harapan saya agar usaha memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sedia ada dapat dilaksanakan menerusi penglibatan semua pihak,” katanya.


Dalam pada itu, beliau turut menegur tindakan segelintir masyarakat di sekitar Johor Bahru yang mencari jalan mudah dalam menguruskan sisa pepejal sehingga wujudnya banyak lokasi pembuangan sampah haram.


“Perkara ini perlu kerjasama semua pihak terutama orang awam dan saya rasa SWM Environment Sdn Bhd pun sudah melaksanakan tugas mereka,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]