DAP sokong lantikan Amirudin

in Politik by


SHAH ALAM – DAP memberi sokongan penuh dan bersetuju dengan pemilihan Adun Sungai Tua, Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.


Adun Kinrara, Ng Sze Han berkata, DAP sememangnya tidak mempunyai sebarang bantahan berhubung perkembangan itu memandangkan tiada sebarang isu yang timbul melibatkan pelantikan Amirudin tersebut.


“Saya bagi pihak DAP ingin menyatakan bahawa kami memberi sokongan penuh kepada Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu dan akan bekerjasama dengan beliau seperti titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya kepada Sinar Harian.


Terdahulu, Amirudin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu selepas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terpaksa melepaskan jawatan berkenaan berikutan dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi di peringkat Kerajaan Persekutuan.


Namun begitu, pelantikan Amirudin menimbulkan persoalan susulan dakwaan Adun Ijok, Dr Idris Ahmad yang mengatakan bahawa pelantikan tersebut tidak mendapat restu Pakatan Harapan (Harapan).


Malah, Idris turut mendakwa beliau merupakan individu tunggal yang mendapat persetujuan daripada semua parti gabungan Harapan untuk memegang jawatan itu.


Dalam pada itu, Sze Han yang juga  Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baharu memaklumkan bahawa walaupun usia Amirudin masih muda, namun perkara itu bukanlah merupakan satu isu yang besar buat pentadbiran kerajaan negeri.


“Yang penting kami mempunyai satu pasukan kukuh dengan ahli Exco yang mempunyai pengalaman berlainan.


“Dan dengan kekuatan ini, saya percaya kami dapat menyampaikan kesinambungan daripada inisiatif sebelum ini,”katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]