Dr Mujahid sahkan namanya dikemukakan untuk jawatan Kabinet

in Nasional by


GEORGE TOWN – Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa hari ini mengesahkan namanya antara disenaraikan oleh Amanah untuk menganggotai kabinet Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


Katanya, keputusan parti mengemukakan namanya berasaskan kepimpinan beliau dalam parti dan pengalaman dalam arena politik negara.


“Saya bersedia berkhidmat tidak kira apa-apa jawatan kabinet yang diberi… saya anggap itu sebagai penghormatan tinggi dan amanah untuk berkhidmat kepada negara,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yang Dipertua  Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas di sini.


Pada masa ini, jemaah menteri Dr Mahathir hanya mempunyai 13 anggota sedangkan ada beberapa portfolio penting termasuk Menteri Luar yang masih kosong selain tiada timbalan menteri dinamakan.


Mengulas lanjut, Mujahid berkata, beliau tidak pasti apakah portfolio yang dicadangkan untuk beliau.


“… soalan ini hanya akan terjawab apabila pengumuman rasmi dibuat oleh Tun Mahathir,” katanya yang menafikan beliau bakal dilantik menjadi Menteri Luar.


Dr Mahathir dijangka mengumumkan senarai kabinetnya sebelum Parlimen bersidang pada 16 Julai ini.


Sebelum ini, difahamkan senarai calon anggota jemaah menteri terbabit akan dipersembahkan untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas sambutan Aidilfitri.


Antara 13 anggota kabinet yang telah mengangkat sumpah jawatan masing-masing ialah Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Timbalan Perdana Menteri, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin (Menteri Dalam Negeri), Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (Menteri Kewangan) dan Presiden Amanah Mohamad Sabu (Menteri Pertahanan).


Sebelum ini, Dr Mahathir dilaporkan berkata pentadbirannya tidak akan memiliki lebih daripada 30 kementerian. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]