Dr Norashikin umum bertanding Exco Wanita Umno

in Politik by


IPOH – Ketua Wania Umno Bahagian Pasir Salak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin akan bertanding jawatan Exco Wanita Umno pemilihan kali ini.


Beliau berkata, keputusan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah kerana kekalahan pertama kali dalam sejarah itu masih dirasai oleh setiap ahli Umno.


Katanya, dalam keadaan seperti itu, pembaharuan dan penyusunan semula parti adalah agenda pertama yang perlu dilakukan.


“Justeru itu, saya mengambil keputusan menerima cadangan rakan seperjuangan untuk melibatkan diri secara terus dalam usaha menguatkan semula Umno.


“Saya berharap dengan pengalaman saya sebagai Adun Kampung Gajah selama dua penggal, Ketua Wanita Bahagian satu penggal dan pengalaman sebagai Ahli Majlis Tertinggi serta kepimpinan Puteri Umno seketika dahulu, saya dapat menyumbang idea-idea baru untuk mengangkat wanita dan Umno kembali ke tahap kekuatan asal untuk merampas semula kemenangan di PRU15,” katanya kepada Sinar Harian.


Katanya, Umno perlu berani dan memerlukan orang yang berani memberikan idea bagi membawa perubahan dalam parti walaupun mungkin idea itu ‘pedih’ untuk diterima pada mulanya.


Wan Norashikin berkata, beliau percaya bahawa tidak ada kecacatan pada nama Umno dan pengundi bakal menyokong semula Umno serta BN sekiranya parti dapat mendekatkan diri dengan aspirasi pengundi.


“To win them, you need to be them (untuk memenangi undi mereka, kita perlu menjadi mereka). Saya menawarkan diri dengan harapan dapat menyumbang kepada kemenangan semula Umno pada PRU, Insya-ALLAH.


“Jika ketelusan dan kesederhanaan rapat kepada jiwa rakyat, maka itulah yang perlu kita utamakan,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]