'Guru cilik' rotan rakan sekelas

in Global by


HEFEI – CHINA . Seorang kanak-kanak lelaki di sebuah tadika di China bertindak merotan rakan-rakan sekelasnya setelah diberikan kebenaran oleh guru kelas untuk menghukum pelajar yang bising.


Rakaman CCTV menunjukkan kanak-kanak itu, yang juga merupakan ketua kelas terbabit, merotan sekurang-kurangnya 15 rakan sekelasnya menggunakan pemukul dram plastik.


Guru kelas berkenaan mendakwa berasa tidak sihat pada hari kejadian, lalu meminta kanak-kanak lelaki itu, menjaga kelas bagi pihaknya.


“Saya berasa tidak sihat, dan tidak boleh bercakap, saya juga tidak mampu mengawal keadaan kelas yang bising, jadi saya meminta bantuan ketua kelas, ” kata guru tersebut kepada wartawan.


Ibu bapa yang mendapati kesan luka di badan anak mereka kemudian menemui pengetua Tadika Taman Lai’an bagi menuntut penjelasan.


“Kami melihat rakaman di mana kanak – kanak itu merotan hampir 15 orang rakannya sepanjang tempoh 40 minit kelas berjalan,” kata seorang bapa pelajar tadika berkenaan.


Bagaimanapun, pengetua tadika tersebut percaya kanak-kanak itu hanya merotan rakan-rakannya setelah teguran yang diberi tidak diendahkan.


Siasatan kini sedang dijalankan oleh Biro Pendidikan Daerah Yaohai, dan guru kelas terbabit telah digantung tugas. – Dailymail


Source: SH Global

[featured-video-plus]