Ikut acuan ditinggalkan Azmin

in Nasional by


SHAH ALAM – Asas dan acuan pentadbiran yang ditinggalkan mantan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sudah cukup kukuh untuk terus diperkasakan demi kemajuan negeri itu tanpa perlu perlaksanaan perubahan yang besar.


Itu antara reaksi awal berhubung harapan terhadap kepimpinan menteri besar baharu, Amirudin Shari yang selesai mengangkat sumpah hari ini.


Adun Seri Serdang, Siti Mariah Mahmud berkata, pentadbiran Kerajaan Selangor bersama barisan Exco komited untuk meneruskan kesinambungan pelan yang dilaksanakan di negeri ini demi kepentingan seluruh rakyat.


Menurutnya, pentadbiran Kerajaan Selangor sentiasa bekerja berpasukan dan saling melengkapi antara satu sama lain memandangkan masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri.


“Kita ada kekuatan tersendiri dan saya yakin kita mampu untuk memberi yang terbaik buat Selangor dan rakyatnya selepas ini,” katanya.

SITI MARIAH


Selain itu, Siti Mariah yang juga merupakan Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga berharap agar semua pihak dapat memberi peluang kepada Amirudin dan barisan Exco yang lain untuk memimpin negeri Selangor selepas ini.


Ujar Siti Mariah, walaupun usia Amirudin masih muda, namun barisan Exco tetap memberikan sokongan padu terhadap beliau dalam meneruskan kesinambungan pelan sedia ada demi kebaikan rakyat di negeri ini.


“Setiap barisan Exco bersama Menteri Besar Selangor yang baharu mempunyai pengalaman dalam bidang masing-masing yang dilihat mampu untuk memberi masa depan lebih baik buat generasi akan datang,” katanya.


Dalam pada itu, Exco Negeri Selangor, Haniza Mohamed Talha, berkata, dengan selesainya pelantikan itu, ia memberi satu kelegaan besar kepada barisan Exco negeri untuk melaksanakan gerak kerja dalam satu pasukan yang disifatkan sebagai gabungan terbaik.


Beliau juga yakin dengan pengalaman Amirudin yang pernah bersama satu pasukan bersama Azmin menerajui Selangor, mampu membawa Selangor terus maju.


“Menteri Besar bukannya baru dalam urusan pentadbiran malah sudah tiga penggal menjadi Adun. Dengan pengalaman sebagai Exco kepada mantan Menteri Besar juga, saya yakin Selangor mampu bergerak lebih maju,” katanya.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]