Jangan fikir sudah selesa

in Sukan by


WALAUPUN menganggap England seharusnya menang dengan jaringan gol yang lebih besar, namun Harry Kane tetap lega pasukannya berjaya memulakan kempen Piala Dunia dengan langkah kanan apabila menewaskan Tunisia 2-1 dalam aksi Kumpulan G, awal pagi tadi.


Pada aksi itu, Kane muncul wira England apabila meledak dua gol bagi membantu England menewaskan Tunisia sekali gus meraih tiga mata pada perlawanan sulung.


Tandukan Kane pada masa kecederaan menghadiahkan kemenangan buat skuad The Three Lions selepas kedua-dua pasukan sebelum itu terikat 1-1 sehingga minit ke-90.


Terdahulu, Kane membuka tirai jaringan perlawanan pada minit ke-11 tetapi Ferjani Sassi berjaya menyamakan kedudukan buat Tunisia pada minit ke-35.


England seharusnya mampu melakar kemenangan lebih selesa dalam perlawanan tetapi skuad bimbingan Gareth Southgate gagal menyempurnakan beberapa peluang terhidang bagi menjaringkan gol pada babak pertama.


“Saya cukup bangga dengan prestasi rakan sepasukan. Saya fikir kami bermain dengan baik pada babak pertama, kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol.


“Apa pun, kredit perlu diberikan kepada semua pemain, mereka terus berjuang sehingga tamat perlawanan. Ia membuktikan kami mempunyai semangat juang tinggi bagi mencapai matlamat,” kata Kane yang juga kapten England.


Sementara itu, pemain tengah The Three Lions, Jordan Henderson mengingatkan rakan sepasukannya agar tidak berasa selesa dengan kemenangan yang dicapai.


“Kami memulakan kempen de­ngan baik dan memberi keyakinan kepada kami, tetapi harus ingat ia baru bermula.


“Masih ada perlawanan yang perlu diharungi, jadi kami perlu kekal konsisten,” ujarnya.


England akan berdepan Panama yang tewas 0-3 di tangan Belgium dalam aksi kedua, Ahad ini.

 


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]