Kerja amal bawa bahagia

in Edisi by


BUKIT CHANDAN – Saban tahun kemeriahan Hari Raya Aidilfitri pasti sungguh terasa di Kuala Kangsar. Beberapa hari sebelum Syawal, Bandar Diraja Perak ini mula dipenuhi kenderaan anak perantauan yang pulang ke kampung.


Pada malam raya pula, meriam Kampung Talang mengambil tugas. Dentumannya menggegarkan keheningan malam malah ribuan orang datang menyaksikan aktiviti setahun sekali itu.


Pagi raya, masyarakat memenuhkan masjid-masjid di sekitar Kuala Kangsar dan antara masjid tumpuan adalah Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, mercu tanda menakjubkan di Bandar Diraja Perak itu.


Lebih meriah, sekumpulan aktivis masyarakat menggelarkan diri mereka Superfrends menyemarakkan lagi Hari Raya Pertama dengan mengagihkan 1,000 biji kuih putu Perak di hadapan Masjid Ubudiah.


Penaungnya, Kusyi Hirdan berkata, ini merupakan tahun keempat mereka mengagihkan kuih tersebut dan pada awalnya mereka hanya menyediakan 300 biji kuih untuk penduduk.


“Tahun lepas kita agihkan 600 biji kuih dan itu masih tidak mencukupi, ada yang datang bertanya sebab tak sempat ambil. Jadi tahun ini kita sediakan 1,000 biji kuih.


“Sebelum ini kalau ada orang Kuala Kangsar nampak saya, mesti mereka akan tanya tahun ini ada tak agihkan putu Perak. Rupanya kehadiran kami memang dinantikan saban tahun.

Kemeriahan Syawal jelas terasa semasa pengagihan kuih tersebut.


“Biasanya mereka tak ambil banyak pun, sebiji atau dua biji sahaja dan terus makan di situ. Jadi, kita boleh lihat suasana rakyat Kuala Kangsar menikmati putu Perak pada Hari Raya Pertama lagi, memang meriah,” katanya kepada Sinar Harian.


Putu Perak punya nilai sentimental


Tambahnya lagi, Superfrends memilih kuih tersebut kerana ia mempunyai nilai sentimental terutamanya buat anak Perak dan ia merupakan antara kuih paling diminati.


Menceritakan perihal Superfrends, Kusyi memaklumkan ia bermula pada tahun 2010, digerakkan beberapa orang rakan di mana objektif utama mereka adalah untuk membantu golongan memerlukan.


“Pada tahun 2010, saya bersama beberapa orang kawan sumbangkan barang dapur kepada orang susah di Serendah, Selangor. Itulah permulaannya pada waktu itu memang kami saja nak bantu.


“Saya umumkan dalam media sosial, ada ramai juga nak bantu. Daripada situlah bermulanya Superfrends dan sehingga kini kami terus berkembang. Ramai juga mahu membantu orang susah dan mereka salurkannya melalui kami,” ujarnya.


Sekadar amal yang kecil


Bagi Kusyi, dia berharap perkara dilakukan Superfrends mampu menjadi ikutan masyarakat seperti cogan kata mereka iaitu ‘sekadar amal yang kecil’.


“Buatlah sekecil mana pun pertolongan asalkan tolong orang yang dekat dengan kita. Tak perlu pun pergi sampai ke luar negara, kita boleh mulakan dengan orang di kawasan berhampiran kita terlebih dahulu.


“Kalau semua ambil pendekatan seperti ini, nasib orang susah pasti terbela. Selain program pada Hari Raya, kami juga banyak menjalankan aktiviti pada bulan Ramadan termasuk mengagihkan lemang baru-baru ini.


“Bergerak bersendirian seperti kami pasti ada cabarannya. Antara yang paling sukar adalah mengumpulkan sukarelawan dan dana namun semuanya akan cuba diatasi demi terus melaksanakan kerja amal,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]