Khai Bahar sediakan bajet lebih untuk duit raya

in Hiburan by
Khai Bahar

Khai Bahar sediakan bajet lebih untuk duit raya


MEMASUKI tahun kedua bergelar anak seni, penyanyi Khai Bahar mengakui sambutan Hari Rayanya kini cukup berbeza dengan sebelumnya.


Bukan hanya dari segi persiapan, tetapi rutin rayanya juga turut berubah apabila tumpuannya kini bukan hanya untuk keluarga dan saudara mara sahaja, tetapi juga kepada peminat peminat yang  menyokong kerjaya seninya.


“Sebelum ini raya saya hanya dengan keluarga dan saudara mara sahaja. Jadi rutin raya pun simple sahaja kerana kita buat benda yang sama setiap tahun.


“Tapi bila dah jadi artis, nak tak nak memang kena ambil tahu perkara lain jugalah. Dari segi persiapan raya pun jadi berbeza, sebab tetamu pun dah makin bertambah dan tempat kita beraya pun lebih banyak daripada biasa.


“Seronoklah sebab raya jadi lebih meriah, cuma masa dengan keluargalah jadi makin sikit. Jadi kena pandai-pandailah bahagikan masa agar kita tak lebihkan benda lain daripada keluarga,” kata Khai yang bercuti selama seminggu ini.


Jika tahun lalu, Khai mengadakan rumah terbuka untuk meraikan para peminatnya, kali ini dia tidak dapat berbuat demikian kerana kesuntukan masa.


Tambah anak kelahiran Perlis ini, dia hanya berkesempatan pulang berhari raya pada dua hari sebelum Aidilfitri kerana terikat dengan jadual kerja.


“Kalau buat rumah terbuka, saya kena buat persiapan betul-betul. Tak naklah serahkan semua pada keluarga, sedangkan saya sibuk dengan benda lain.


“Tahun lepas peminat yang datang sangat ramai dan di luar daripada jangkaan saya sampai keluarga kelam kabut jugalah nak bantu saya layan tetamu. Bukan sahaja dari Perlis dan Kedah, tetapi juga dari negeri-negeri lain


“Walaupun tahun ini saya tak buat rumah terbuka, tapi saya berlapang dada menerima kunjungan peminat yang nak datang beraya. Cuma kalau boleh, datanglah sebelah petang kerana pagi saya selalunya luang masa dengan keluarga,” kata Khai jujur.


Pada tahun ini, sebagai salah seorang Starvilion, Khai bakal melaram 12 pasang baju raya dari koleksi raya PrimaValet, selain baju raya yang dihadiahkan peminat.


Menghargai pemberian peminat, Khai berjanji akan memakai kesemua baju-baju tersebut sepanjang Syawal ini.


“Alhamdulillah, rezeki murah bila ramai yang hadiahkan baju raya pada saya dari awal Ramadan sampailah sekarang.


“Raya pertama saya mengenakan baju raya dari Starvilion berwarna ungu untuk tampil sedondon dengan keluarga.


“Insya-ALLAH, saya akan cuba pakai semua baju pemberian orang sepanjang sebulan raya ni sebagai tanda terima kasih saya kepada mereka,” katanya.


Meskipun rezekinya sebagai penyanyi semakin murah pada tahun ini, kata Khai, dia dan keluarga tidak suka berlebihan, malah lebih selesa bersederhana meraikan Aidilfitri.


“Alhamdulillah pada tahun ini kerjaya saya dah makin stabil dan adalah bajet lebih sikit berbanding tahun-tahun sebelumnya.


“Jadi saya peruntukan untuk duit raya untuk anak-anak buah dan mereka yang layak dapat duit raya itu mungkin lebih sikitlah untuk tahun ini.


“Apa yang penting semua orang dapat sambut raya dengan gembira pada tahun ini,” kata Khai.


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]