Najib pergi Langkawi perkara biasa

in Nasional by


ALOR SETAR – Tindakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor pergi bercuti ke Langkawi adalah perkara biasa.


Bekas Adun Kuah, Nor Saidi Nanyan berkata, Langkawi sememangnya destinasi menarik untuk dilawati dan bercuti.


Beliau berkata, Najib dan Rosmah datang ke pulau berkenaan hanya untuk bercuti bersama ahli keluarga mereka semata-mata.


“Datang ke Langkawi, benda biasa. Langkawi memang destinasi pelancongan untuk bercuti dan dilawati bersama seisi keluarga.


“Malah, saya lihat kenyataan Ketua Polis Kedah, Datuk Zainal Abidin Kasim sudah mengesahkan perkara ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.


Tambah Saidi, apabila mengetahui kunjungan Najib ke Langkawi, mereka menyambut kedatangan beliau demi memberi sokongan dengan semangat Aidilfitri.


“Kita sambut seperti biasa, tiada benda-benda lain,” katanya.


Sementara itu, Zainal berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung isu kunjungan Najib sekeluarga ke Langkawi.


Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Polis Kedah meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi kononnya bekas perdana menteri dan isterinya bercuti di Langkawi adalah bertujuan untuk melarikan diri ke luar negara.


Sebaliknya, Najib datang ke Langkawi hanyalah bercuti bersama keluarga, bermain golf dan bertemu dengan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah serta pemimpin BN lain.


Sehubungan itu, Zainal meminta penyebaran berita itu dihentikan supaya tidak menimbulkan kegusaran kepada orang ramai.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]