Penduduk mahu kemudahan pejabat pos

in Edisi Johor by


KULAI – Kira-kira 120,000 penduduk di kawasan Bukit Batu, di sini, mendesak kemudahan pejabat pos bagi memudahkan mereka menjalankan urusan berkaitan.


Adun Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse berkata, ketiadaan kemudahan itu menyukarkan penduduk untuk berurusan kerana mereka terpaksa pergi ke bandar Kulai atau Senai.


Menurutnya, akibatnya, penduduk terpaksa berulang-alik sejauh kira-kira 41km semata-mata untuk menyelesaikan urusan tertentu.


“Satu daerah Kulai hanya mempunyai dua buah pejabat pos sahaja. Kalau dari Bukit Batu mahu ke Kulai atau Senai boleh mencecah lebih satu jam perjalanan.


“Bayangkan perjalanan pergi dan balik lebih 41km hanya semata-mata untuk kirim satu surat atau buat pos laju penduduk terpaksa melalui kepayahan itu,” katanya kepada Sinar Harian.


Berikutan itu, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Pos Malaysia tentang perkara berkenaan.


“Bagi saya, lokasi bersesuaian bina pejabat pos adalah di pekan Kelapa Sawit kerana ia berada di tengah-tengah kawasan antara bandar Kulai dan Senai. Sebelum ini, saya difahamkan terdapat sebuah pejabat pos mini di pekan Kelapa Sawit tetapi ditutup operasinya sejak tahun lalu.


“Perkara ini pernah saya ajukan dalam Sidang Dun lepas dan difahamkan terdapat permohonan pembukaan pejabat pos di dalam kawasan Bukit Batu.


“Namun, Pos Malaysia sehingga kini masih belum meluluskannya,” katanya.


Sehubungan itu, beliau berharap, Pos Malaysia dapat mempertimbangkan untuk membuka operasi mereka di kawasan Bukit Batu seberapa segera demi keselesaan penduduk.


“Sekiranya terdapat pejabat pos dalam kawasan Bukit Batu, ia dapat membantu penduduk menyelesaikan urusan mereka.


“Kemudahan pejabat pos di Kulai mahupun Senai juga perlu dinaik taraf kerana adakalanya penduduk terpaksa menunggu lama untuk selesaikan satu-satu urusan terutama pada waktu puncak selain sukar mendapatkan parkir kereta kerana kawasan sedia ada terhad,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]