Perlu bantuan kaki palsu

in Edisi Terengganu by


KEMAMAN – Seorang bapa anak tiga yang kudung kaki kanan kerana dipotong akibat penyakit gangren berharap dapat memiliki kaki palsu untuk membolehkannya bekerja semula demi menyara keluarga.


Kaki kanan Ismail Abdullah, 48, dipotong separas betis tujuh bulan lalu menyebabkan pergerakannya sekarang terbatas.


Ismail yang merupakan warganegara Indonesia berkahwin dengan rakyat Malaysia, Zainun Mat Salleh, 44, dan mereka menetap di Bandar Seri Bandi, di sini.


Zainun berkata, selepas menjalani pembedahan memotong kaki pada November tahun lalu, suami yang dahulunya mencari rezeki sebagai pekerja kontrak tidak mampu lagi bekerja.


“Lepas kaki suami dipotong, anak sulung kami, Mohd Ridzuan, 21, yang banyak bantu keluarga tapi sekarang dia pun sakit setelah terlibat dengan kemalangan jalan raya.


“Nasib kami seperti sudah jatuh ditimpa tangga sebab sekarang kami sudah hilang punca pendapatan,” katanya yang merupakan suri rumah sepenuh masa.

Anak sulung Ismail dan Zainun, Mohd Ridzuan kini terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda selepas mengalami kemalangan jalan raya.


Menurutnya, purata perbelanjaan bulanan keluarganya mencecah RM1,000 termasuk sewa rumah sebanyak RM200 dan perbelanjaan dapur sekitar RM400.


Kata Zainun, ekoran kesempitan hidup yang dialami, dia juga sudah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ketika ini permohonannya sedang diproses.


Kesusahan hidup Zainun lima beranak mendapat perhatian Pertubuhan Kebajikan Melayu Islam Malaysia Cawangan Seri Bandi, Kemaman yang mengunjungi rumah sewa mereka.


Setiausahanya, Ahmad Mohd Zain berkata, ekoran kesusahan hidup keluarga itu, pihaknya akan membantu dengan berusaha mencari pihak yang sudi menghulurkan bantuan kaki palsu demi membolehkan Ismail mencari pekerjaan semula.


“Diharapkan orang ramai dapat sama-sama membantu Ismail bagi meringankan beban yang ditanggung,” katanya.


Mereka yang terpanggil untuk membantu boleh menyalurkan sumbangan secara terus ke akaun Bank Simpanan Nasional atas nama Zainun Mat Salleh yang bernombor 11111-41-00028590-5.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]