Pulau Kukup destinasi pelancongan unik

in Edisi Johor by


PONTIAN – Terkenal dengan jolokan Daerah Penghujung Benua Asia, Pontian menjanjikan pelbagai lokasi alam semula jadi yang pastinya memberikan kenangan terindah kepada pengunjung.


Hutan paya bakau menjadi tarikan utama di daerah ini dengan dua lokasi utama yang wajib dikunjungi iaitu Taman Negara Johor Pulau Kukup (TNJPK) dan Taman Negara Johor Tanjung Piai (TNJTP).


Menariknya TNJPK yang berkeluasan 1,147 hektar itu meliputi hutan bakau seluas 647 hektar dan dataran berlumpur seluas 800 hektar adalah pulau hutan paya bakau tidak berpenghuni yang kedua terbesar di dunia.


Pada 31 Januari 2003, TNJPK mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila diberikan status Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa atau tapak Ramsar oleh Biro Persidangan Geneva.


TNJPK juga diwartakan sebagai Taman Negara Johor pada 27 Mac 1997 dan dibuka bagi kunjungan orang ramai pada Julai 2003 sekali gus menjadi tarikan pelancongan baharu di daerah ini.


Legenda lima puteri bunian


Kisah legenda lima puteri bunian antara yang terkenal dalam kalangan orang tempatan yang dikaitkan dengan Pulau Kukup suatu masa dahulu.


Lima puteri bunian yang dikatakan sungguh cantik itu menjadikan Pulau Kukup sebagai tempat tinggal, tempat bermain dan bergurau senda sehinggakan suatu hari salah seorang puteri jatuh hati dengan seorang pedagang yang singgah di pulau itu.


Empat puteri yang lain membantah hubungan cinta yang terjalin dengan pedagang itu meskipun puteri berkenaan tetap berkeras dengan keputusannya dan nekad berkahwin dengan pedagang tersebut.


Akibatnya keempat-empat puteri tersebut berpakat melenyapkan Pulau Kukup sebelum beberapa tahun kemudian, pulau tersebut ditumbuhi paya bakau dan tidak boleh menjadi penempatan penduduk.


Pulau Kukup sentiasa ditambah baik


Pengurus  Pemasaran dan Komunikasi, Perbadanan Taman Negara Johor, Khalid Zahrom berkata, Pulau Kukup yang mempunyai daya tarikan pokok bakau sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa bagi menaik kedatangan pelancong.

Pengunjung diberikan penerangan mengenai pokok bakau berusia 100 tahun di Taman Negara Johor Pulau Kukup, Pontian.


Menurutnya, komitmen tinggi diberikan untuk menjadikan Pulau Kukup sebagai lokasi pelancongan wajib dikunjungi sejajar dengan usaha kerajaan untuk menjadi Pontian sebagai lokasi pelancongan utama di negeri ini.


Katanya, pelantar pejalan kaki atau board walk dinaik taraf Pihak Berkuasa Kemajuan Wilayah Iskandar (IRDA) pada 2016 menjadikan keseluruhan sejauh 1.7 kilometer (km) berbanding 600 meter sebelum ini.


“IRDA juga membina pelbagai kemudahan seperti stesen yang dikenali sebagai Terowong Masa,  Pavillion, Spiral Mangrove, Onterkatif Mudflat dan mercu tanda TNJPK dipintu masuk.


“Perjalanan dengan berjalan di pelantar pejalan kaki mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit sekiranya mereka berhenti di setiap stesen bagi melihat pelbagai tumbuhan selain siput, ketam dan barongan terutama ketika air pasang,” katanya.


Dapat lihat Pulau Karimun, Indonesia


Pembantu Hidup Liar dan Taman Negara, Fairuzee Ramlee berkata, waktu paling sibuk di pulau tersebut adalah pada Sabtu dan Ahad serta cuti sekolah.


“Terdapat 19 petugas di TNJPK termasuk dua pengawal keselamatan yang menjaga pulau pada waktu malam bagi mengelakkan sebarang pencerobohan tapi pengunjung akan dibawa melawat sekeliling pulau dan mempelajari pelbagai jenis tumbuhan dengan panduan daripada petugas.


“Pengunjung dapat melihat spesies pokok bakau secara dekat dan dapat membezakan antara satu spesies dengan spesies lain yang dibezakan dari segi daun, buah dan kulit pokok,” katanya.


Menurutnya, pengunjung juga dibawa melihat tapak semaian pelbagai tumbuhan bagi tujuan pembelajaran di samping tapak penanaman anak-anak pokok bakau oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


“Ini termasuklah pokok bakau yang ditanam sendiri Almarhum Tunku Laksmana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim pada tahun 2014 ketika lawatan baginda ke pulau itu,” katanya.


Fairuzee berkata, terdapat pokok bakau yang berusia 100 tahun dengan salah satunya mempunyai ukuran lilit 60 sentimeter yang dikenali sebagai bakau hybrid akibat berlaku pendebungaan dengan pokok yang lain.


Selain itu katanya, terdapat 27 spesies bakau asli yang popular bakau kurap selain tujuh spesies mamalia, enam spesies reptilia, 23 spesies burung dan 111 spesies ikan selain pelbagai jenis moluska dan krustasea.


Pengunjung juga akan dibawa menaiki Menara Pemerhati yang terletak Tanjung Balai untuk melihat keseluruhan Pulau Kukup serta Kepulauan Kerimun, Indonesia.


Burung Botak (Leptotilos Javanicus) yang menjadi ikon bagi Pulau Kukup juga dapat dilihat dari puncak menara itu dan burung berkenaan antara spesies yang semakin pupus di dunia dan gemar memilih pokok yang tingginya lebih 30 meter untuk bersarang.


Naik bot ke Pulau Kukup


Sehingga 2016, dianggarkan kira-kira 259,596 ribu pengunjung melawat TNJPK yang dihubungkan melalui perkhidmatan bot dari Pekan Kukup Laut dengan mengambil masa 10 hingga 15 minit perjalanan.


Kadar tambang yang dikenakan adalah RM5,00 seorang manakala tiket masuk ke pulau tersebut RM5 bagi pengunjung warganegara Malaysia dan RM10 pula warga negara asing.


Pengunjung boleh memilih sama ada menaiki bot menyusuri Sungai Ular atau berjalan kaki di pelantar kayu sejauh  kira-kira 1.7 km bermula dari pintu masuk hingga pelantar Barongan.


Selain Sungai Ular, terdapat lima lagi batang sungai di Pulau Kukup iaitu Sungai Merah, Sungai Jempul, Sungai Tongkang, Sungai Sedang dan Sungai Solok.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]