RM50,000 bantu golongan memerlukan

in Edisi Utara by


KULIM – Sebanyak RM50,000 dana berjaya dikutip hasil sumbangan orang ramai untuk membantu golongan memerlukan sekitar daerah ini.


Mudir Sekolah Rendah Islam Raudhatul Jannah, Mohd Bahkry Yahya berkata, sumbangan telah diberikan kepada 355 orang termasuk anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal dan kakitangan sekolah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.


Menurutnya, sumbangan hari raya tersebut telah dilakukan selama empat tahun berturut-turut dengan kerjasama Pas Cawangan Kampung Air Putih, Junjung.


“Ini kali keempat kita buat aktiviti membantu golongan memerlukan sempena hari raya. Dana yang kita terima daripada orang ramai itu kita bagi pula kepada golongan ini.


“Alhamdulillah kali ini juga banyak penglibatan syarikat Muslim yang turut bersama menghulurkan bantuan untuk meringankan beban golongan tersebut.


“Antara bantuan yang diterima adalah baju baru, barangan makanan keperluan asas dan sedikit wang tunai,” katanya.


Katanya, aktiviti tersebut akan diteruskan pada masa hadapan dan berharap lebih banyak penglibatan syarikat untuk membantu golongan memerlukan ini.


“Kita akan teruskan kerana memang dapat sambutan menggalakkan, kalau banyak lagi syarikat atau mana-mana pihak terlibat mungkin lebih ramai yang akan dapat manfaatnya,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]