Royalti sokong Ku Li kepalai Umno

in Politik by


KOTA BHARU – Royalti (R) Kelantan menyokong penuh Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon Presiden Umno.


Presidennya, Nazri Deraman berkata, tokoh dari Kelantan itu terbukti mempunyai jiwa besar dan fikrah yang konsisten menyebelahi agenda-agenda rakyat, tanpa tunduk kepada kem-kem tertentu dalam parti.


“Mengimbas kembali hak-hak rakyat Kelantan seperti royalti petroleum, projek-projek negeri dalam RMK, konsep federalism. Ku Li kekal berpihak demi rakyat walaupun budaya Umno pada ketika itu adalah bertentangan.


“R beberapa kali berjaya mengadakan perbincangan dan pertemuan tertutup dengan Ku Li bagi membincangkan isu tuntutan royalti minyak untuk Kelantan,” katanya kepada Sinar Harian.


Menurutnya, antara program terbesar dalam isu royalti adalah Tengku Razaleigh sudi menyampaikan ucapan dalam Ceramah Perdana & Himpunan Rakyat Kelantan menuntut royalti di Stadium Sultan Muhammad IV, pada 2010 lalu.


Beliau berkata, himpunan tersebut berjaya menunjukkan seluruh rakyat Kelantan bersatu padu menuntut royalti tanpa mengira fahaman politik kepartian.


“Kami telah mendapat banyak maklumat dan aspirasi daripada Ku Li dalam meneruskan perjuangan menuntut royalti bagi Kelantan. Ku Li merupakan tokoh yang amat berjasa kepada negara, antaranya beliau antara pengasas Petronas dan bekas Menteri Kewangan.


“Sekiranya Ku Li terpilih menjadi Presiden Umno, kami amat yakin beliau dapat membantu rakyat Kelantan untuk turut sama memperjuangkan hak royalti Kelantan sehingga berjaya.


“Royalti Kelantan percaya, Ku Li mampu membawa Umno kepada kematangan, keadilan dan sejahtera untuk politik negara kita. Sesungguhnya Umno amat memerlukan pemimpin yang bersih dari segala isu penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Ku Li telah terbukti telus dan jauh daripada sebarang kontroversi,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]