Syahdu iringi pagi Syawal

in Edisi Selangor KL by


SUNGAI BESAR – Mengimbau pengalaman beraya di perantauan kerana mengikuti misi pengaman Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menyertai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Timor Leste pada 2006 adalah sesuatu yang tidak dapat dilupakan, apatah lagi terpaksa berjauhan dengan anak dan isteri.


Namun, demi komitmen dan tanggungjawab yang harus digalas kepada negara, segalanya ditempuhi dengan penuh reda.


Bagi Koperal Roszman Alip, 41, perasaan rindu terhadap insan tersayang pada ketika itu tentunya sukar dilupakan, apatah lagi terpaksa beraya di negara bergolak.


“Masa itu, hanya ALLAH saja tahu perasaan saya yang berkobar-kobar nak sambut hari raya bersama isteri dan anak-anak.


“Tapi, disebabkan tuntutan kerja dan tanggungjawab kepada negara, saya korbankan segalanya bagi memastikan misi keamanan ini terlaksana,” katanya.


Katanya, dia berada selama enam bulan di negara bekas wilayah Republik Indonesia itu yang mencapai kemerdekaan pada tahun 2002.


“Saya masih ingat, ketika berada di negara terbabit pada pagi Syawal, seluruh jiwa saya diruntun pilu mengenangkan anak dan isteri di kampung.


“Di sana, penduduk beragama Islam tak ramai, jadi sambutan kurang meriah dan kami hanya menyambut Aidilfitri di Kedutaan Malaysia,” katanya.


Roszman memberitahu, sebagai anggota barisan hadapan, mereka perlu bersedia dari segi mental dan fizikal termasuk jika diarahkan bertugas sepanjang perayaan.

Hafiz menerangkan sesuatu kepada anggotanya yang bertugas di Pos Kawalan PGA Sungai Haji Dorani, di sini.


“Hati kena kuat dan cekal. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana isteri dan anak-anak amat memahami,” katanya.


Katanya, pada tahun ini, dia dapat pulang menyambut lebaran pada hari raya ketiga di Felda Raja Alias, Bandar Baru Serting, Jempol, Negeri Sembilan.


Bagi Inspektor Hafiz Arif Ghazali, 28, pula, dia tetap setia menjalankan tugas yang diamanahkan, walaupun beraya di pos kawalan tanpa keluarga tersayang,


Menurutnya, tanggungjawab adalah keutamaannya dalam memastikan negara tetap teguh, aman dan sejahtera daripada anasir-anasir luar.


Hafiz berkata, sepanjang tiga tahun perkhidmatannya dalam PGA, sedikit pun tidak pernah terbit kekesalan atau mengeluh, walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga tercinta.


“Saya berbangga dengan pengorbanan yang dilakukan demi memastikan kedaulatan tanah air terus kekal terpelihara,” katanya.


Sambutan lebaran tahun ini juga lebih bermakna apabila dia dan isteri, Nor Syazwani Mad Husin, 27, meraikannya dengan kelahiran anak sulung mereka, Alisya Safiya, berusia tujuh bulan.


“Tahun ini, sebaik saja giliran saya bercuti, kami akan pulang ke kampung berhari raya di Slim River, Perak,” katanya.


Bagi Koperal Mohammad Izwan Abd Wahab, 32, pula, setiap kali pagi Syawal, dia akan membuat panggilan video menerusi aplikasi WhatsApp untuk mengubat kerinduan terhadap isteri, Ct Noor Aiza Esa, 31, dan anak mereka, Muhammad Irfan Sufi, 6.


“Bila dengar sahaja takbir raya, hati ini rasa tak sabar nak jumpa keluarga, tapi apalah daya, demi tugas kepada negara, semua ini perlu dikorbankan.


“Saya selalu pesan pada isteri dan ahli keluarga supaya mendoakan yang terbaik agar saya dapat mencurah keringat kepada pertiwi,” katanya.


Dia yang berasal dari Pontian Johor berkata, antara juadah kegemarannya di hari lebaran ialah ketupat dan rendang daging.


“Raya ketiga baru saya dapat pulang ke kampung, dan untuk tahun ini, giliran rumah mertua di Batu Pahat.


“Suasana raya di Johor memang meriah kerana kami di sana, mengamalkan tradisi baraan (kunjung-mengunjungi ke rumah) jiran tetangga.


“Tahun ini, mungkin saya tak sempat ikut baraan, cuma ziarah saudara dan kenalan terdekat,” katanya yang telah berkhidmat selama 10 tahun dalam pasukan itu.

 


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]