Tak cukup duit siapkan rumah

in Edisi Utara by


KULIM – Empat beranak di Kampung Lindungan Raja, Sedim yang tinggal dalam rumah terbengkalai sejak lima tahun mendapat perhatian NGO Pusat Amal Sejahtera Kulim.


Pengerusinya, Mohd Khairi Salleh berkata, keadaan daif keluarga Mohd Ridzuan Abu Bakar, 28, bersama isteri dan dua anaknya yang berusia lapan dan dua tahun itu mendapat perhatian pihaknya serta Unit Amal Kulim Bandar Baharu dan Pas Cawangan Kampung Sedim yang tampil membantu keluarga terbabit.


“Kita tertarik untuk membantu sebuah keluarga ini yang hidup dalam serba kekurangan sejak lima tahun lalu apabila tidak mampu menyiapkan rumahnya.


“Kita berjaya siapkan lantai rumah dan seterusnya membeli serta pasang cermin tingkap untuk memberi keselesaan kepada keluarga ini.


“Kita harap usaha ini dapat meringankan beban mereka sekeluarga dan dapat membesar anak-anak dalam keadaan baik,” katanya.


Katanya, kesemua kos binaan tersebut berjumlah lebih RM3,500 diperoleh hasil sumbangan orang ramai.


“Kita harap lebih ramai yang akan turut menghulurkan sumbangan supaya wang tersebut dapat disalurkan kepada mereka memerlukan,” katanya.


Mohd Khairi juga akan memohon pihak zakat membantu keluarga berkenaan supaya dapat meningkatkan pendapatan mereka.


“Kita nak rujuk keluarga ini kepada pihak zakat untuk bagi mesin rumput atau apa-apa bantuan mula untuk tingkat pendapatan,” katanya.


Sementara itu, Mohd Ridzuan berkata, bantuan yang dihulurkan pihak terbabit meringankan bebannya dan memberi kehidupan lebih selesa.


“Saya ucap terima kasih kepada pihak yang membantu. Alhamdulillah lebih selesa sikit. Kalau nak harapkan gaji saya sebagai tukang cuci memang tak tahu bila nak siap rumah ini,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]