Tembak tayar elak dilanggar pengedar dadah

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kereta seorang lelaki di Changkat Minden, di sini, malam semalam.


Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, suspek yang memandu kereta jenis Proton Waja dilihat dalam keadaan mencurigakan di Lebuh Carnavon, di sini.


Menurutnya, suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pengedaran dadah itu kemudian ditahan sepasukan polis yang membuat rondaan di kawasan tersebut.


“Ketika polis menghampiri kereta suspek, dia terus memecut keretanya menuju ke arah perumahan di Macallum. Suspek yang panik dilihat memandu dalam keadaan merbahaya dan melanggar beberapa kenderaan sekitar kawasan tersebut.


“Pasukan polis kemudian meminta bantuan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) berikutan suspek memandu menghala ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.  


“Semasa di lampu isyarat lebuh raya berkenaan, anggota polis terlibat sekali lagi menahan suspek namun dia enggan lalu mengundurkan keretanya. Tindakan itu hampir terkena anggota URB yang berada di belakang kereta suspek,” katanya kepada media semalam.


Thaiveegan berkata, susulan itu, polis melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kereta suspek.


“Suspek masih berdegil dan sekali lagi memecut keretanya ke Lorong 9, Changkat Minden. Menyedari jalan tersebut jalan mati, suspek lari meninggalkan kenderaannya di tepi jalan. Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut, polis menemui peralatan menghisap dadah, dadah dipercayai syabu dan sebilah parang.


“Suspek dikenali sebagai T Prasad berusia 36 tahun dan mempunyai tujuh rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan jenayah. Polis kini sedang giat memburu suspek dan meminta orang awam yang mempunyai maklumat agar menyalurkannya kepada polis,” katanya.


Tambahnya, kereta suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.


Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]