Usaha cari pemuda diperluas

in Uncategorized by


PARIT – Seramai 55 anggota penyelamat digerakkan dalam usaha mencari seorang pemuda yang dikhuatiri lemas ketika menjala ikan bersama bapa dan dua saudaranya di Kampung Ekor Lambat, Ahad lalu.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Parit, Mohd Ismail Mohd Yunus berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa, Mohamad Ikhwan Mohamad Nizam, 22,  membabitkan PDRM, Rela, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selain Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan Unit Anjing Pengesan (K9), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.


Menurutnya, operasi pencarian membabitkan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP)Teluk Intan di hilir Sungai Perak dihentikan apabila sebahagian sungai cetek hingga tidak dapat dilalui oleh bot-bot penyelamat.


“Pada awalnya khidmat BBP Teluk Intan diperlukan bagi melakukan pencarian bermula di JPS Teluk Intan mudik ke hulu hingga ke kawasan Teluk Sena namun dihentikan selepas sebahagian sungai cetek dan berpasir yang menyukarkan perjalanan bot-bot penyelamat.


“Situasi sama turut dihadapi pasukan penyelamat di sini (Parit) apabila bot hanya dapat melalui sehingga ke Kampung Pendiat sahaja. Bagaimanapun, operasi masih diteruskan dengan melakukan pencarian di permukaan air menyusuri sungai sepanjang 15 kilometer,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, hari ini.


Mohd Ismail berkata, khidmat unit K9 berjaya mengesan beberapa lokasi dipercayai keberadaan mangsa dan pasukan skuba membabitkan unit PPDA dan TLDM menyelam di kawasan yang dikenalpasti.


“Setakat jam 6 petang ini, tiada petunjuk yang dapat diperolehi dan pasukan skuba masih berusaha menyelam mengesan mangsa meskipun menghadapi sedikit kesukaran,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]