Asyraf Wajdi mahu Pemuda Umno kembali jadi idola masyarakat

in Nasional by


SHAH ALAM – Calon Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhasrat membina kembali institusi Pemuda dalam melahirkan kader yang berkualiti dan boleh dijadikan idola masyarakat supaya parti itu kembali diterima dan diyakini masyarakat.


Asyraf Wajdi berkata, faktor itu menjadi sebab utama beliau mahu bertanding jawatan tersebut pada pemilihan parti bagi penggal 2018-2021.


Beliau mahu Pemuda Umno kembali lantang menjadi ‘pembangkang’ dalam parti sendiri seperti mana yang pernah berlaku ketika sayap itu diterajui oleh Datuk Harun Idris dan Tan Sri Syed Jaafar Albar.


“Saya mendambakan Pemuda seperti mana zaman kedua-dua pemimpin itu sehingga ada orang katakan Pemuda ketika itu seperti ‘ada jemaah dalam jemaah’ dan ‘ada organisasi dalam organisasi’ kerana kelantangan mereka.


“Ia berlaku selepas 1969 apabila kita kalah buat pertama kali di mana Perikatan hilang undi orang Cina dan pada waktu itu berlaku ketidaktentuan dalam politik dan di sinilah orang Melayu bangkit kerana orang muda merasakan di sinilah kita kembali pada perjuangan asal Umno itu sendiri. Pemudalah yang ketika itu memulakan gerakan secara agresif,” katanya ketika sesi temubual dalam FB Live bersama Sinar Harian, di sini, hari ini.


Pada masa itu, Asyraf Wajdi berkata, Pemuda Umno tidak gentar dalam menyuarakan segala kepincangan yang berlaku dalam sisten parti itu sendiri.


“Perkara ini harus disuburkan kembali dan mungkin saat ini adalah yang terbaik. Saya pun rasa bertanggungjawab sebab saya juga berada dalam sistem itu (barisan kepimpinan Umno).


“Sebelum ini, saya timbalan menteri, adalah tidak manis kalau mengkritik di luar Kabinet. Jadi inilah masa terbaik. Paling penting bukan soal mengkritik sahaja, tetapi bagaimana kita nak membina kembali dan mengupayakan anak-anak muda,” katanya.


Menurutnya, proses pengkaderan itu perlu dimulakan segera dalam membina semula institusi Pemuda yang utuh.


“Kita tidak mahu hanya ada satu KJ (Khairy Jamaluddin), tetapi hendak 1,000 KJ kalau KJ dijadikan sebagai model kerana realitinya, kalau kita ada tokoh lebih hebat umur 28 tahun, saya rasa inilah idolanya sebagai Ketua Pemuda Umno.


“Tetapi hakikatnya kita kena ingat, pernah berlaku pada zaman Tan Sri Syed Jaafar, di mana umurnya 61 tahun tetapi bertanding Ketua Pemuda pada waktu itu untuk kembalikan dan memperkasakan institusi pemuda,” katanya ketika menjawab soalan mengenai ketandusan pemimpin muda dalam Umno.


Asyraf Wajdi berkata, Umno berbeza dengan parti-parti lain kerana berstruktur akar umbi yang begitu holistik.


“Parti-parti lain lebih populis, jadi tak sukar untuk mentadbir kerana berasaskan sentimen. Apa-apa pun, kita kena pastikan struktur yang ada perlu dibina kembali.


“Sebab itu ia memerlukan bukan sembarangan orang yang boleh kita tampilkan hanya kerana mereka petah berkata-kata, menjadi idola atau selebriti segera dalam Facebook. Inilah dinamiknya umno,” katanya.


Asyraf Wajdi merupakan antara sembilan calon Ketua Pemuda dalam pemilihan Umno 30 Jun ini.


Pemilihan Umno kali ini bakal menyaksikan 191 bahagian bersidang dan memilih pelbagai jawatan di peringkat bahagian dan Majlis Tertinggi parti serentak di seluruh negara.


Pemilihan itu melibatkan pertandingan secara terbuka untuk semua jawatan dalam parti bagiĀ  menentukan hala tuju baharu selepas kalah dalam PRU14 lalu.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]