Bapa Altantuya belum beri keterangan: Ramkarpal

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Bapa model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, Dr Shaariibuu Setev masih belum memberi keterangan kepada polis berhubung kes pembunuhan anaknya itu pada 12 tahun lalu.


Perkara itu disahkan peguam keluarga Altantuya, Ramkarpal Singh.


“Ini kerana beliau (Shaariibuu) akan pulang ke Mongolia pada esok dan pada petang ini saya akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya,” katanya


selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, hari ini.


Ditanya sama ada dalam laporan polis yang dibuat hari ini ada menyebut nama suspek yang terlibat kes pembunuhan ini, Ramkarpal berkata, dalam laporan itu tidak menyebut nama suspek yang terlibat tetapi hanya laporan polis bagi memulakan siasatan lanjut kes ini.


Mengulas lanjut, beliau juga memaklumkan bahawa laporan ini  tidak hanya tertumpu pada laporan polis sahaja tetapi turut mengambil kira maklumat lain yang boleh diperoleh bagi membantu siasatan.


“Maklumat lain yang saya maksudkan adalah maklumat berkaitan kes ini yang mungkin membawa kepada petunjuk baharu.


“Siasatan lanjut ini adalah untuk mengetahui siapa suspek utama yang mengarahkan pembunuhan ini (Altantuya). Kami harap polis memulakan siasatan lanjut,” katanya.


Altantuya dipercayai ditembak mati dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan di hutan sekunder di Mukim Bukit Raja, Klang antara 10 malam pada 19 Oktober 2006 dan 1 pagi 20 Oktober 2006.


Pada 2009, bekas anggota Unit Tindakan Khas polis Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri didapati bersalah atas pembunuhan Altantuya.


Namun susulan rayuan pihak pendakwaan, hukuman terhadap mereka dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan.


Bagaimanapun Sirul melarikan diri ke Australia di mana dia ditahan oleh Imigresen Australia di pusat tahanan di Sidney selepas Interpol mengeluarkan notis merah terhadapnya. Dia berada di pusat tahanan tersebut sejak 2015 dan berharap untuk mendapatkan suaka di Australia.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]