'Bersara atau kekal saja Adun bebas'

in Politik by


ALOR SETAR – Pengerusi Bersatu Perlis, Ameir Hassan menasihatkan Adun Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim supaya memilih untuk bersara dari politik jika tidak lagi sehaluan dengan BN atau kekal sebagai Adun bebas, daripada cuba mengintai kedudukan dalam parti itu.


Menurutnya, sudah terlambat untuk Ismail menawarkan diri menyertai Bersatu kerana PRU14 sudah pun berakhir.


Katanya, Bersatu tidak akan sesekali mengkhianati mandat rakyat atau membiarkan penyakit songsang Umno mencemari parti itu dengan menerima kemasukan bekas pemimpin Umno yang keluar parti.


“Apa tujuan Ismail mahu sertai Bersatu? Apabila beliau sudah sampai ke kemuncak dan tidak dapat bergerak dalam politik, pencen sahajalah. Tinggalkan politik, biarkan Bersatu teruskan perjuangan,” katanya, ketika dihubungi.


Menurutnya, Ismail seolah-olah mahu menjadikan Bersatu sebagai tempat menyelamatkan kedudukan politiknya bagi mendapatkan keistimewaan daripada parti pemerintah, setelah BN kalah teruk PRU14 lalu.


“Jika sudah keluar Umno, jadi Adun bebas, tak perlulah sertai Bersatu. Semasa kami berjuang untuk menangkan parti, mereka antara yang berperang untuk kalahkan kami, kenapa saat kami perlukan kekuatan daripada mereka, tidak dibantu ketika itu, kenapa sekarang,” katanya, sinis.


Ameir berkata, kemungkinan Ismail sudah salah percaturan politik apabila keputusan PRU14 menyaksikan Pakatan Harapan berjaya tawan Putrajaya.


“Mereka bermati-matian berperang dengan kita hingga kita tewas di Perlis walaupun menang di Pusat. Apabila kerajaan Pusat dalam genggaman kita, sekarang dengan mudah datang kononnya untuk bagi kekuatan, jika sebelum PRU14 mereka hulur tangan pasti Perlis juga dapat kita tawan,” katanya.


Menurutnya, penolakan itu juga bagi mengelak penyakit songsang dan budaya ego dalam Umno dibawa masuk dalam parti itu.


“Penyakit itu akan rosakkan Bersatu lama-kelamaan jadi seperti mereka dulu. Ini yang kita nak kekang. Kita tak boleh kecewakan harapan rakyat, ini perjuangan parti bukan peribadi. Jika anggap parti perjuangan peribadi, sepanjang zaman rakyat akan derita,” katanya.


Ameir berkata, Bersatu juga tidak ketandusan pemimpin sehingga perlu menerima bekas pemimpin Umno yang bermasalah.


“Jika kita tandus pemimpin pelapis, tak kan kita kalah sipi. Cuma kita tak beroleh medan perang yang adil ketika itu. Kami juga miliki barisan pemimpin pelapis yang dilatih dan akan terus melatih mereka sebagai persediaan PRU15,” katanya.


Menurutnya, setakat ini, Ismail tidak menghubungi beliau secara rasmi untuk menyatakan hasratnya menyertai Bersatu, seperti diumumkan Ismail kepada media, semalam.


“BN sudah hilang taring, patut bubar Dun dan buat PRN (pilihanraya negeri) saja untuk dapatkan mandat baru sebab rakyat Perlis sedar, negeri ini tak mampu berbuat apa tanpa bantuan Pusat,” katanya.


Ameir berkata, tindakan Timbalan Ketua Umno Bahagian Arau itu lompat parti tidak akan menyelesaikan sebarang masalah.


Ismail mengumumkan keluar Umno selepas hilang keyakinan terhadap pucuk kepimpinan parti dan menjadi wakil rakyat bebas demi kepentingan rakyat selain memaklumkan hasrat menyertai Bersatu dalam tempoh terdekat.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]