Cadang bina dua kilang di Pasir Gudang

in Edisi Johor by


PASIR GUDANG – Sebuah kilang pelupusan sampah dan kilang kereta elektrik dicadangkan di bina di Pasir Gudang.


Adun Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh berkata, beliau akan mencari masa yang sesuai untuk membentangkan cadangan itu kepada Menteri Besar, Datuk Osman Sapian bagi mendapatkan kebenaran membangunkan kilang-kilang tersebut.


“Kilang pelupusan sampah yang kita cadangkan akan mengguna pakai teknologi dari Finland manakala kilang kereta elektrik pula akan menggunakan teknologi hasil kerjasama daripada syarikat dari China dan Jepun.


“Kita tengah mencari kawasan yang sesuai untuk bina kilang kereta elektrik ini tetapi untuk kilang pelupusan sampah kita sudah ada kawasan yang kita rasa sesuai,” katanya.  


Menurutnya, kajian serta kertas kerja telah dibuat dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk dibentangkan kepada Menteri Besar.


Beliau berkata, pembinaan kilang itu dijangka dapat memenuhi keperluan pekerjaan penduduk yang bermastautin di Pasir Gudang, sekali gus kurangkan pengangguran di Johor.


“Pembinaan melihat beberapa contoh daripada negara luar bagi mengenal pasti kaedah terbaik untuk melaksanakan dan memastikan perkara ini sesuai dengan persekitaran Pasir Gudang.


“Ia secara tidak langsung akan menarik pelaburan baharu ke dalam kawasan kita, sekali gus memastikan penduduk yang tinggal di kawasan kita ini mempunyai pekerjaan dan sumber pencarian,” katanya.


Jelasnya, permohonan pembinaan kilang itu telah dibuat pada tahun lepas tetapi tertangguh berikutan pertukaran kerajaan pada PRU14.


“Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kita untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat dan pastikan masyarakat yang menetap di kawasan ini mempunyai pekerjaan yang elok,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]