Didik banduan melalui pembacaan

in Edisi by


KUANTAN – Banduan yang menjadi hukuman di penjara di negeri ini diberi peluang untuk mengikuti perkembangan dunia luar dan meningkatkan ilmu pengetahuan melalui pembacaan pelbagai bahan bacaan yang dibekalkan.


Malah, minat membaca di kalangan banduan juga cukup tinggi terutama buku-buku berkaitan agama, motivasi dan novel.


Bagi memenuhi keperluan dan menyemarakkan budaya membaca, Jabatan Penjara Malaysia mewujudkan perpustakaan di Penjara Penor dan Bentong di sini untuk membekalkan bahan bacaan secara pinjaman kepada banduan.


Bagaimanapun bahan bacaan yang disediakan untuk perpustakaan berkenaan di tidak mencukupi untuk menampung keperluan kira-kira 5,000 banduan yang sedang menjalani hukuman di kedua-dua penjara tersebut.


Perkara itu diakui Pengarah Penjara Pahang, Datuk Ab Basir Mohamad apabila memaklumkan hanya kira-kira 3,000 buku pelbagai genre terdapat di kedua-dua perpustakaan penjara berkenaan kini.


Menurutnya, perpustakaan penjara itu diuruskan pegawai penjara yang berpengalaman dalam pengurusan perpustakaan bagaimanapun fungsinya mungkin tidak sama dengan perpustakaan di luar.


“Di sini, kita senaraikan senarai buku dan banduan boleh memilih buku yang hendak dibaca sebelum bahan bacaan itu dihantar ke blok masing-masing.


“Setiap banduan dibenarkan meminjam dua buku dan tempoh pinjaman selama 10 hari,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.


Menurutnya, berdasarkan kepada sambutan terhadap aktiviti membaca dalam kalangan banduan, beliau mengambil inisiatif melancarkan Kempen Menderma Buku dan bahan Bacaan Kepada Banduan bermula 1 hingga 31 Julai ini.


Katanya, kempen itu bertujuan menambah bekalan bahan bacaan pelbagai genre termasuk majalah untuk keperluan banduan di kedua-dua penjara tersebut dan di Pusat Pemulihan Pemasyarakatan Kem Batu 10 di sini.


“Kita sasarkan 10,000 buku dapat dikumpulkan dalam tempoh itu bagaimanapun sumbangan akan diterima sepanjang tahun.


“Justeru melalui kempen ini, pihak penjara mengalu-alukan sumbangan buku pelbagai bahasa dan genre sama ada baharu, buku-buku terpakai, majalah dan al-Quran kecuali buku sekolah,” katanya.


Ab Basir berkata, sepanjang kempen itu, pihaknya menyediakan pusat pengumpulan di balai pengawal Penjara Penor, Bentong dan di pejabat parol di Pekan, Kuantan, Temerloh dan Jerantut.


“Buku-buku yang berjaya dikumpulkan akan diagihkan kepada perpustakaan penjara mengikut keperluan,” katanya.


Beliau berkata, kempen itu bertujuan untuk mengumpul buku untuk keperluan banduan bagi menggalakkan budaya membaca kerana melalui aktiviti seumpama itu dapat membantu meningkatkan ilmu pengetahuan, membentuk keperibadian positif, kreativiti, semangat dan motivasi penghuni penjara.


Sementara itu katanya, pihak penjara juga menyediakan kelas agama kepada banduan mengikut agama dan kepercayaan masing-masing.


“Kita juga menganjurkan program agama (Islam) bersijil dengan kerjasama Yayasan Pahang pada Sabtu dan Ahad setiap minggu dalam tempoh 18 bulan,” katanya.


Katanya, kumpulan peserta pertama dijangka akan menamatkan pengajian mereka Oktober ini dan prestasi mereka cukup membanggakan apabila lulus 100 peratus ujian yang disediakan sebelum ini.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]