Dr Mohd Ghazali dilantik KSU Kementerian Pendidikan

in Nasional by


PUTRAJAYA – Datuk Dr Mohd Ghazali Abas dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan yang baharu berkuat kuasa hari ini, menggantikan Datuk Seri Alias Ahmad yang bersara wajib pada 22 Mei lepas.


Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa hari ini berkata, Mohd Ghazali yang sebelum ini merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia telah berkhidmat selama 32 dalam perkhidmatan awam apabila menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada 13 Jan 1986.


“Beliau berpengalaman luas dalam bidang pengurusan ekonomi dan kewangan serta pembangunan modal insan menerusi karier perkhidmatannya,” katanya dalam satu kenyataan.


Mohd Ghazali juga pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia, Pengarah Seksyen Pembangunan Modal Insan Unit Perancang Ekonomi (EPU), dan Pengarah Eksekutif Network Asia Pacific Schools and Institutes of Public Administration and Governance (NAPSIPAG).


Dari segi latar belakang pendidikan, Mohd Ghazali berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya, Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dari University of Nottingham, United Kingdom dan Doktor Falsafah (Maklumat dan Telekomunikasi Global) dari Waseda University, Jepun.


Ali berkata beliau percaya pengetahuan, pengalaman dan kredibiliti yang dimiliki Mohd Ghazali akan membolehkan beliau melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan dan mampu meneruskan misi Kementerian Pendidikan dalam melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]