Ekmal tanding ketua pemuda

in Edisi by


BENTONG – Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Bentong, Datuk Ekmal Hamid Zakaria akan bertanding Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian pada pemilihan parti hujung bulan ini.


Ekmal berkata, keputusan berkenaan dibuat bagi memastikan parti keramat itu berupaya bangkit selain mahu melakukan pembaharuan untuk terus berbakti kepada rakyat.


Menurutnya, berikutan keputusan pada PRU14 yang tidak memihak kepada Umno, maka parti keramat itu perlu kembali bangkit dalam memastikan asas, ideologi dan semangat kebangsaan yang mendasari perjuangannya selama ini tidak terkubur.


“Saya terpanggil untuk  bertanding kerana mahu menawarkan berkhidmat bagi mengisi tanggungjawab dan amanah sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Bentong untuk penggal akan datang.


“Meremajakan parti perlu diterjemahkan bukan sahaja dari sudut output malah input (mentaliti) juga perlu melalui proses sama demi menunjukkan kepada rakyat bahawa Pemuda Umno mampu mengimplementasikan orang muda Bentong.


“Berasaskan kudrat, buah fikiran, jiwa serta semangat daripada saki-baki perjuangan yang tinggal, maka saya dan rakan-rakan akan bersama-sama berusaha membina serta memulihkan semula kekuatan parti menerusi beberapa pendekatan dan strategi yang akan diatur,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini, semalam.


Ekmal yang juga Pengerusi Gerakan Belia 4B Kawasan Bentong berkata, barisan kepimpinan yang bakal menerajui Umno dalam keadaan sukar seperti hari ini bukan saja perlu memiliki keyakinan tetapi harus merentasi semua aspek demografik selain mempunyai platform di semua tempat.


Beliau yang sudah 15 tahun bersama Umno ingin mencurah bakti kepada masyarakat Bentong yang juga tempat kelahirannya.


“Pertandingan ini juga menjadi platform demi membantu bangsa ke arah yang lebih maju dan berdaya saing khususnya dalam bidang ekonomi.


“Saya menyertai parti keramat ini ketika melanjutkan pengajian di United Kingdom melalui Kelab Umno London dan diberi amanah menjadi bendahari kelab di sana.


“Apabila pulang ke Malaysia pada tahun 2009, saya mula bergiat aktif bersama Umno Malaysia dan pernah diberi tanggungjawab menjadi Ahli Jawatan Kuasa Biro Ekonomi Pemuda Umno Malaysia,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]